Masuk politik agar Islam memerintah

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Kempen pilihan raya di bulan Ramadan bukanlah kejanggalan, sebaliknya perlu dijadikan perbuatan yang membolehkan pahala.

Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, hanya mereka yang berfikiran negatif memisahkan politik dari agama dan dunia dari akhirat.

Sedangkan terangnya, kempen pilihan raya adalah seruan untuk memilih pemimpin dan merupakan urusan pemerintahan yang diberi perhatian semua Nabi.

Jelas beliau, PAS menyertai politik agar Islam dapat memerintah, bukannya untuk menjadikan individu atau parti berkuasa.

"Oleh sebab Umno tidak mahu berubah melaksanakan Islam, maka kita kena ketepikan dan tukar yang baru. Begitu juga Deklarasi Rakyat, cuma kempen untuk buang seorang yang berkuasa.

"Tetapi PAS berkempen untuk tukar sistem (pemerintahan) yang rosak, ekonomi pincang dan sosialnya parah. Masalahnya apabila orang (pemimpin) mengimani sistem yang salah," terangnya pada ceramah di UPU Taman Bunga Raya, di sini semalam.

Dari pemimpin dan sistem sedemikianlah menyebabkan lahirnya dasar dan polisi yang membebankan rakyat seperti GST dan sebagainya.

Terang Dr Khairuddin, dalam pemikiran pemimpin sedemikian, sumber kewangan adalah dengan cukai daripada rakyat.

Sedangkan, ia bercanggah dengan Islam yang menetapkan sumber kewangan dari hasil mahsul bumi.

"Kalau tak cukup baru ambil dari rakyat yang berkemampuan dan ada lebihan kewangan. BN berbangga dia dapat meluaskan cukai. Dari satu juta, sekarang enam juta rakyat yang membayar cukai," ujarnya menempelak cara fikir BN. – HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace