Menjaga kemuliaan bulan Ramadhan dalam PRK

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

DALAM keghairahan PRK yang sedang berlangsung kebetulan jatuh dalam bulan Ramadhan kali ini, kami mengesa semua pihak yang berkenaan menghormati semangat kemuliaan bulan penuh barakah ini.

Walaupun adab dan akhlak dalam semua perkara hendaklah menjadi suatu nilai yang tetap pada setiap ketika, akan tetapi bulan Ramadhan Kareem sewajarnya menjadikan semua pihak yang terlibat dalam PRK mengelakkan perkara yang boleh mencemari kelebihan bulan mulia ini termasuk berbohong, mencaci, menfitnah, menghina, mengaibkan dan memaki hamun.

Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi bulan pembinaan keperibadian yang mulia dalam kalangan semua kaum Muslimin. Semua sisi perlakuan perlu dikawal dengan penuh kesedaran. Sama ada  pertuturan mahupun tingkahlaku hendaklah benar-benar dipelihara ketika keghairahan berkempen agar tidak jatuh dalam kekejian yang merosakkan ibadah dalam bulan Ramadhan.

Sesungguhnya ini bukan kali pertama PRK diadakan pada bulan Ramadhan dinegara ini. Sudah berlaku PRK beberapa kali yang sengit dengan pelbagai bentuk kempen dan gelagat penyokong parti politik yang bertanding.

Kelazimannya dikala gerak kerja kempen memenangkan parti dan calon, ada yang lupa bahawa semangat kesatuan dan persaudaraan dalam kalangan kaum Muslimin perlu diutamakan dan dipelihara dengan sebaik mungkin.

Ramadhan adalah bulan mendidik umat Islam untuk hidup damai dan saling berkasih sayang. Ia menjadi tempoh yang sangat baik untuk setiap Muslimin dan Muslimah menzahirkan persaudaraan yang kental dalam semangat meningkatkan ibadah mengapai keredhaan Allah SWT.

Lantaran PRK kali ini berlaku serentak di dua kawasan dan perebutan kursi dua Parlimen, seluruh jentera pilihan raya akan dikerah semaksimalnya untuk memenangkan calon dan parti masing-masing. Lumrahnya penyokong parti yang taksub dengan parti masing-masing sering terlupa bahawa etika dan adab perlu dijaga agar politik pilihanraya di negara ini berjalan dalam batas-batas syara'.

Sementara bertarung untuk menang dalam pilihan raya adalah kemuncak matlamat parti politik yang bertanding dalam sistem demokrasi ,  akan tetapi etika dan adab bertanding, apatah lagi dalam bulan Ramadhan perlu dijaga.

Kecenderungan untuk mengalahkan lawan dengan hujah yang kadangkala bersifat palsu, separuh benar dan ada yang berbentuk fitnah, serangan peribadi dengan memburuk-burukkan lawan, bukan suatu yang asing dalam politik Malaysia.

Penggunaan media sosial yang agresif disamping media arus perdana kadang-kadang yang berat sebelah, malangnya, merupakan gaya kempen politik pilihan raya yang sangat lumrah di negara ini.

Kami mendokong gesaan dan saranan agar amalan pilihan raya yang bersih dan adil menjadi prinsip yang perlu diamalkan.

Apatah lagi dalam dunia komunikasi tanpa sempadan sekarang ini seperti penggunaan media sosial, kempen pilihan raya ada kalanya tidak mempedulikan etika dan akhlaq kerana terlalu ghairah untuk memenangkan calon dan parti yang bersaing.

Dalam pengamatan umum, sangat lumrah amalan politik nista, mengherdik, melabel dan menyerang peribadi menjadi kelaziman.

Kami menyeru dan mengesa pimpinan masing-masing parti mengawal, memantau  dan menegur petugas dan penyokong mereka supaya akur kepada arahan supaya tidak melanggar etika dan adab berkempen. Lebih penting lagi ialah pidato dan kempen berkelompok serta kenyataan pemimpin itu sendiri perlu menunjukkan contoh agar menjadi pedoman yang boleh diteladani oleh penyokong. – HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace