Dr Najiha santuni kakitangan awam

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Tempoh pilihan raya menjadi ruang untuk PAS diperkenalkan di jabatan dan agensi kerajaan sesuai peruntukan yang dibenarkan.

Sehubungan itu, kempen calon PAS P.067 Kuala Kangsar Dr Najihatussalehah Ahmad memasuki pejabat dan premis kerajaan di Bandar Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Kunjungan dimulakan di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar diikuti Hospital Besar Kuala Kangsar dan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

Selain bertemu pegawai dan kaki tangan berkaitan, kunjungan itu juga menjadi kesempatan Dr Najiha bertemu masyarakat awam yang hadir berurusan.

Ternyata komunikasi ramah dan mesra serta keprihatinannya yang merupakan doktor perubatan dilihat begitu dekat kepada setiap orang ditemuinya.

Apatah lagi dengan kefasihan berbahasa Cina telah menarik kaum Tionghua begitu teruja berbual dengan beliau.

Dr Najiha turut mendapat semangat dari pertemuannya dengan mantan Ketua Muslimat PAS Perak, Zaleha Tais yang kebetulan datang ke hospital.

Kumpulan kempen ini turut diiringi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib. – HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace