Penerokaan haram rizab Tasik Bukit Merah

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan wakil-wakil beberapa pertubuhan alam sekitar termasuk CAP, KUASA, PEKA dan GRASS menggesa pihak berkuasa yang berkenaan supaya bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menceroboh dan meneroka haram Rizab Tasik Bukit Merah di Daerah Kerian, Perak.

SAM mendapati sebahagian Rizab Tasik Bukit Merah sudah diceroboh dan diteroka haram dengan tanaman kelapa sawit sejak lebih lima belas tahun lalu dan kini keadaannya semakin membimbangkan.

Kegiatan menceroboh dan meneroka haram Rizab Tasik Bukit Merah memberi impak kepada alam sekeliling di sini dan boleh membawa kepada kemerosotan paras air Tasik Bukit Merah yang seterusnya menyebabkan terjejas pengairan jelapang padi di Daerah Kerian, Perak dan selatan Seberang Perai, Pulau Pinang seluas kira-kira 24,000 hektar.

Malah bekalan air Tasik Bukit Merah juga turut digunakan untuk tujuan domestik dan industri bagi lebih 200,000 penduduk di Daerah Kerian dan sebahagian Daerah Larut Matang dan Selama, Perak. Pihak CAP juga sebelum ini telah mendedahkan pencurian air dari taliair dan membantah penggunaan air dari tasik ini untuk projek penternakan arowana di jelapang padi di Daerah Kerian.

Rizab Tasik Bukit Merah tidak hanya penting sebagai punca bekalan air ke Tasik Bukit Merah tetapi berperanan untuk mengawal banjir kerana sebahagian besar kawasan rizab tersebut adalah tanah lembap dan pamah yang berperanan sebagai kawasan limpahan banjir.

Pada November 2011, pihak berkuasa yang berkenaan pernah mengeluarkan kenyataan melalui media menjelaskan isu tersebut setelah diketengahkan oleh SAM. Pada masa itu terdapat perbezaan penjelasan di antara Pegawai Daerah Kerian dengan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kerian (JPS Daerah Kerian).

Mengikut penjelasan Pegawai Daerah Kerian di dalam ruangan [email protected] akhbar Harian Metro bertarikh 29 November 2011, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kerian akan melaksanakan projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Pondok Tanjung berhampiran Tasik Bukit Merah.

Sebaliknya Jurutera JPS Daerah Kerian pula menjelaskan, jabatan tidak menyokong dan membenarkan sebarang pembangunan di Rizab Tasik Bukit Merah kerana hendak memelihara ekosistem Tasik Bukit Merah dan memastikan kepentingannya tidak terjejas.

Menurut Jurutera JPS Daerah Kerian lagi, jabatan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sekiranya Rizab Tasik Bukit Merah diceroboh dan diteroka haram walaupun bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan dan operasi tasik tersebut.

Berdasarkan pelan syit Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara: No 377; - (GN 3319 of 1914, GN 1453 of 1919 dan GN 8279 of 1929 excision), kawasan tersebut diwartakan sebagai Rizab Tasik Bukit Merah.

Malah mengikut Rancangan Tempatan Daerah Kerian, kawasan tersebut adalah sebahagian daripada kawasan tadahan air.

Manakala kegiatan mengeksploitasi Rizab Tasik Bukit Merah jelas tidak mematuhi Garis Panduan Perancangan, Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (rujuk kepada: GP007-A(2) - Kawasan Dataran Banjir, Tanah Lembap, Bekas Lombong, Tasik dan Sungai dan GP007-A(3) - Kawasan Tadahan Air dan Sumber Air Tanah).

Eksploitasi dan pemusnahan Rizab Tasik Bukit Merah (penukaran daripada guna-tanah hutan dan kawasan semula jadi darat kepada lain-lain guna-tanah) ketara mendedahkan permukaan tanah kepada lebihan air larian permukaan semasa hujan lebat. Ini akan mengakibatkan berlaku pemendapan dan timbunan sedimen dan juga lain-lain angkutan di dasar Tasik Bukit Merah.

Oleh itu kami berharap pihak berkuasa yang berkenaan perlu bersungguh-sungguh menguatkuasa peruntukan undang-undang berkaitan pencerobohan dan penerokaan haram tanah kerajaan dan lain-lain tanah rizab mengikut Seksyen 425, Kanun Tanah Negara, 1965.  

Pihak berkuasa yang berkenaan sama ada di peringkat daerah dan negeri perlu juga merujuk dan mematuhi kepada dasar dan pelan perancangan fizikal sedia-ada sekiranya hendak melaksanakan sesuatu pembangunan khususnya yang melibatkan penukaran guna tanah.

Demi kepentingan alam sekitar dan bekalan air yang terjamin, kami menggesa agar pengeksploitasian dan penukargunaan tanah di kawasan Rizab Tasik Bukit Merah adalah dihentikan serta-merta. Kawasan rizab yang telah diteroka perlu ditanam dengan spesies pokok hutan yang bersesuaian untuk membaikpulih persekitaran di sini. - HARAKAHDAILY 6/6/2016

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Share on Myspace