Madinah Ramadan diperluas ke Pasir Tumbuh

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bemula pada 1994 situasi agak pelik ditemui di sini apabila orang ramai berpeluang solat Tarawih di bawah khemah di Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Beberapa khemah bersaiz 20 x 20 kaki persegi dipasang berhampiran Stesen Bas SKMK dan Pasar Malam Parit Dalam.

Bermula dari situ rakyat Kelantan merasai solat Tarawih di bawah khemah, sebelum itu mereka tidak pernah mengalaminya.

Solat Tarawih di situ diilhamkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi memudahkan orang ramai yang berurusan di bandar dan menunggu bas ekspress boleh menunaikan solat Tarawih.

Setelah beberapa tahun lokasi itu menjadi kunjungan ramai setiap malam Ramadan, kemudian dipindah pula ke Dataran Stadium Sultan Muhamad IV, ia dikenali sebagai Qaryah Ramadan.

Dan sejak 2013 Qaryah Ramadan dinaik taraf pula kepada Madinah Ramadan memandangkan sambutan orang ramai begitu menggalakkan.

Setiap malam tidak kurang 3,000 jemaah menunaikan solat Tarawih di Madinah Ramadan.

Malah ada penduduk di Kuala Lumpur terbang ke Kota Bharu untuk merasai solat Tarawih di Madinah Ramadan. Pernah juga dikunjungi Duta dan pelancong asing.  

Dan tahun ini Madinah Ramadan dipeluaskan lagi apabila diwujudkan di Bandar Satelit Islam Pasir Tumbuh. Ruang ligar di bawah Masjid Al-Taqwa dijadikan tempat solat Tarawih, diurus MPKB Bandar Raya Islam (BRI).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Abdul Rahman Yunus berkata, Madinah Ramadan II boleh memuatkan sehingga 2,000 jemaah.

Katanya Madinah Ramadan II diwujudkan memadangkan sambutan terhadap Madinah Ramadan I di Dataran Stadium begitu menggalakkan sehingga ramai jemaah terpaksa bersolat di luar khemah.

“Mengambil kira sambutan tersebut MPKB BRI mulai tahun ini mewujudkan lokasi baharu solat Tarawih iaitu di Bandar Satelit Islam.

“Biar pun di sini terdapat banyak masjid dan surau, namun orang ramai datang menunaikan solat Tarawih yang diimamkan hafiz dari Mesir,”  katanya ditemui malam tadi.

Lokasi baharu itu begitu strategik di terletak di tengah-tengah pusat Bandar Satelit Islam yang di keliling gudang-gudang perniagaan, restoran dan bank.

Terletak di tepi jalan utama Kota Bharu-Kuala Terengganu. Pondok Pasir Tumbuh pula terletak kira-kira 1 km dari lokasi tersebut.

Solat Tarawih di situ diimamkan Sheikh Deman Ahmad, guru bahasa Perancis di Mesir dan Sheikh Abdul Rahman, pelajar ekonomi Universiti Ain Sham, Mesir.

Manakala di Qaryah Ramadan I kira-kira 3,000 jemaah memenuhi khemah utama bagi menunaikan solat Tarawih malam tadi. Hadir sama anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood. - HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace