Petugas Dewan Ulamak dekati warga emas

HARAKAHDAILY | .

SUNGAI BESAR: Dewan Ulamak PAS Selangor menyusun jadual program dalam usaha mendekati para pengundi warga emas sepanjang kempen Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Ketuanya, Ustaz Rizuan Rahmat berkata, pihaknya telah mengadakan tiga kali mesyuarat berhubung perkara itu bagi memenuhi peranan yang dipertanggungjawabkan kepada dewan itu.

"Kita bentuk dua jawatankuasa mengikut Dun iaitu Sekinchan dan Sungai Panjang bagi melaksanakan tanggungjawab terutama untuk mendekati kalangan pengundi warga emas," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, para petugas Dewan Ulamak terlibat dengan pengisian program untuk golongan berkenaan melalui kuliah atau tazkirah sama ada secara khusus di premis parti mahupun di tempat umum seperti bazar Ramadan.

Menurutnya lagi, para petugas yang terlibat daripada kawasan-kawasan melaksanakan tugas masing-masing mengikut jadual yang sudah disusun.

Beliau juga mengingatkan para petugas supaya mendaftarkan diri terlebih dahulu sebelum menjalankan gerak kerja itu supaya memudahkan urusan berkenaan.

Justeru, kata beliau, Dewan Ulamak PAS negeri telah menyewa rumah di Parit 5 untuk memudahkan urusan berkaitan dengan gerak kerja yang diamanahkan sepanjang kempen PRK Sungai Besar.

Beliau berkata, apa sahaja pendekatan yang diambil oleh dewan ulamak adalah untuk memenangkan calon PAS pada PRK Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong kerana penyandang, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas - HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace