PAN tidak yakin hadapi saingan PRK

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Tindakan PAN meletakkan calon 'lightweight' dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan ia tidak yakin akan kemampuannya memenangi PRK tersebut.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan ini sekaligus mengurangkan seri dan kemeriahan PRK tersebut berbanding jika ia disertai oleh tokoh besar PAN.

"Sebelum ini pemimpin PAN sering memperlekehkan PAS kononnya tidak serius untuk berlawan dengan Umno, sekaligus dikatakan menjadi punca PAN mahu meletakkan calon dalam PRK ini.

"Bila disebutkan PAN serius mahu berlawan, maka jangkaan pihak di dalam dan di luar PAN adalah Presiden PAN, Mohamad Sabu sendiri akan diletakkan bertanding di Sungai Besar, begitu juga dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin di Kuala Kangsar.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana dua nama tidak dikenali, iaitu Azhar Abdul Shukur dan Dr Ahmad Termizi Ramli, yang diletakkan sebagai calon PAN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Bila dua calon tidak terkenal diturunkan oleh DAP, maka ini menunjukkan PAN takut untuk menghadapi risiko imej parti terjejas teruk jika calon terkenal di kalangan pemimpin tertinggi PAN diturunkan dan kalah teruk dalam PRK ini.

"Jika dua calon tidak terkenal ini mengalami kekalahan maka PAN boleh berdalih kononnya kekalahan ini adalah wajar kerana PAN parti baru dan calon PAN juga muka baru," ujar beliau.

Sehubungan ini, kata Dr Kamarul Zaman, sikap kecut perut PAN ini mengecewakan banyak pihak yang mengharapkan nama besar dari bekas pemimpin PAS yang akan membawa cabaran PAN.

"Kalaupun tidak Mohamad Sabu dan Datuk Seri Mohd Nizar, nama seperti Salahudin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahmad Awang atau Asmuni Awi diharapkan akan diturunkan oleh PAN.

"Bagaimanapun, apabila nama yang diletakkan adalah bukan nama besar yang pernah menjadi pemimpin utama PAS, maka nyatalah pemimpin PAN takut untuk berhadapan dengan PAS dan BN.

"Masa sama, diketahui ramai bahawa sebelum ini wujud persaingan untuk menguasai PAN antara bekas pemimpin PAS dan bekas pemimpin IKRAM.

"Bila bekas pemimpin IKRAM diletakkan sebagai calon maka mungkin ini adalah agenda dalaman untuk mengurangkan pengaruh bekas pemimpin IKRAM dalam PAN.

"Sepatutnya pemimpin PAN berjiwa besar dan meletakkan calon terbaik yang mereka ada untuk mendapatkan kesan maksima dalam PRK ini.

"Sayang sekali bila mereka awal-awal lagi sudah mengaku kalah, biarpun disokong DAP dan PKR," katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace