Dr Najiha akan buka pusat khidmat wakil rakyat

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Calon PAS P.067 Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad sedia membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat yang akan memberi khidmat dan menjadi pemudah cara kepada penduduk.

Menurutnya, khidmat secara berjadual akan diberikan menerusi penglibatan entiti di dalam PAS seperti perubatan, guaman, kaunseling dan sebagainya.

Selain itu katanya, akan turut menjadi pemudah cara yang membantu dan menghubungkan penduduk dengan agensi atau jabatan kerajaan.

"Ada penduduk yang perlukan bantuan JKM contohnya, tetapi tidak tahu untuk membuat prosedur urusan. Jadi kita akan bantu jadi pemudah cara.

"Kita beri khidmat dengan kemampuan kita sebagai pembangkang. Yang penting rakyat dapat haknya dengan kita jadi pemudah cara," jelasnya pada sidang media di Bukit Chandan, di sini hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat selama empat tahun dalam perkhidmatan awam meletakkan jawatan bagi membolehkan berkhidmat langsung kepada rakyat.

Di samping membuka kliniknya di Parit, beliau juga aktif dalam politik dan mula menjadi Ketua Muslimat PAS sejak tahun 2003.

Tambah Dr Najiha lagi, beliau yakin boleh mencapai kemenangan dengan kesungguhan jentera PAS yang membantu kempennya.

Berbanding BN yang tentunya menggunakan jentera kerajaan, beliau percaya jentera PAS mampu memberi persaingan langsung.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa Ramadan menjadi pembatas kempennya sebaliknya akan memanfaatkan ibadah sepanjang Ramadan sebagai kesempatan bertemu pengundi.

"Kita ada tazkirah, kuliah, solat jamaah, baca Quran dan sebagainya selain jualan-jualan Ramadan, jadi semua ini ruang kita bertemu pengundi," jelas beliau. – HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace