PRK: PAS nafi berpakat dengan Umno

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: PAS menafikan tuduhan liar kononnya parti itu ada berkompromi dengan Umno dan menerima wang dalam mencatur keputusan bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa Umno adalah liabiliti pada hari ini dan ketegasan PAS menyertai PRK itu adalah untuk menentang BN.

"Tak kan kita nak pikul biawak hidup? PAS akan ganti Umno (dari pemerintahan negara). Buktinya, kita ada cawangan (PAS) dan struktur organisasi yang kuat (untuk ganti Umno).

"Maaf cakap, orang lain (parti lain) tak mampu (macam PAS lawan Umno). Pada saya, 'move' PAN ni daripada DAP," ujarnya ketika ditemui media di Bukit Chandan, di sini hari ini.

Menurut beliau, hakikatnya tindakan PAN menyertai PRK itulah yang sebenarnya membantu memanjangkan nyawa Umno.

Malah, penyertaan PAN langsung tidak relevan dalam situasi pertembungan penting politik ketika ini antara PAS dan Umno.

Perkara itu jelasnya kerana PAN tidak mempunyai faktor asas seperti jumlah cawangan, keahlian dan sokongan massa serta anak muda, melainkan hanya semata-mata kerana kekecewaan dan menyekat usaha PAS.

"Mujur RUU baru ini untuk tingkat kuasa Mahkamah Syariah. Bayangkan kalau Mahkamah Syariah belum ada?" ujarnya memberi reaksi terhadap Presiden PAN, Mohamad Sabu yang gagal menyatakan pendirian terhadap RUU tersebut.

Ustaz Idris dalam pertemuan itu turut menafikan dakwaan ceramah PAS tidak mendapat sambutan.

Jelasnya, program yang diadakan itu adalah ceramah kelompok di mana mensasarkan kepada pengundi lokaliti tertentu.

Menurutnya, ceramah kelompok diadakan sebagai mewujudkan keseimbangan maklumat kepada pengundi disamping PAS turut mengaktifkan sesi tazkirah, kuliah dan seumpamanya.

Beliau turut mengakui wujud fitnah yang melata khususnya di kalangan masyarakat Tionghua kononnya PAS bersama dengan Umno.

Untuk itu katanya, PAS akan berusaha menggiatkan penerangan kepada kaum tersebut bagi mencerahkan situasi sebenar. -  HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace