Nasharudin pertahan jawatan Timbalan Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

USTAZ NASHARUDIN PERTAHANKAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN PAS (7 JUN 2009)

PADA hari ini dalam tahun 2009, Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa telah berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam satu pertandingan tiga penjuru bersama dua Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Dato' Husam Musa.

Perebutan jawatan nombor dua parti ini berlaku dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ustaz Nasharudin Mat Isa mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak 2005 dengan memperoleh 480 undi, berbanding Dato' Husam Musa (281) dan Haji Mohamad Sabu (261).

Jawatan Timbalan Presiden PAS menjadi jawatan yang panas semenjak kematian Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Julai 2002, di mana Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memangku jawatan Presiden PAS, sedangkan jawatan timbalan dikosongkan sehingga pemilihan parti pada 12-15 September 2003.

Jawatan yang tidak dipertandingkan sejak 1989 ini direbut oleh Senator Ustaz Hassan Shukri setelah mengalahkan Dato' Mustafa Ali, sedangkan Datuk Dr Haron Din menarik diri.

Pada 6 Jun 2005, Ustaz Nasharudin Mat Isa dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru mengalahkan Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-51.

Dalam pemilihan berikutnya pada 3 Jun 2007, Ustaz Nasharudin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatannya dengan mengalahkan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato' Harun Taib dengan majoriti 207 undi.

Ustaz Nasharudin Mat Isa yang dilahirkan pada 19 Oktober 1962 di Rembau, Negeri Sembilan adalah bekas pensyarah UIAM dan UKM, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS pada 13 Jun 1999.

Beliau pernah belajar di UiTM, sebelum memasuki Darul Ulum Lucknow, India, tetapi mendapat ijazah undang-undang syariah di University of Jordan.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang antarabangsa di Glasgow University dan mendapat sarjana undang-undang perbandingan di UIAM.

Beliau mengikuti pengajian kedoktoran dalam bidang undang-undang prosedur Islam di UKM sebelum terpilih sebagai Ahli Parlimen Yan (1999-2004) dan Bachok (2004-2008).

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS (1999-2005) dan dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Dalam pemilihan parti yang umumkan pada 7 Jun 2009, Ustaz Nasharudin berjaya mempertahankan jawatannya dan turut dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. Kerana isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang dimanipulasikan oleh pihak tertentu dalam PAS, Ustaz Nasharudin telah gagal mempertahankan jawatannya pada 4 Jun 2011 apabila Haji Mohamad Sabu terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS dengan majoriti 21 undi.

Sejak itu, Ustaz Nasharudin tidak aktif dalam PAS, sebaliknya bergiat dalam NGO dan sekarang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Ketika Ustaz Nasharudin tidak lagi aktif dalam PAS kerana serangan peribadi ke atas beliau dalam isu hubungan PAS-Umno, dua tokoh penentangnya, Dato' Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu tidak lagi bersama PAS.

Pada 16 Ogos  2012, Ustaz Nasharudin mempertegaskan beliau kekal bersama PAS, sedangkan Haji Mohamad Sabu keluar PAS selepas tewas dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 pada 3-6 Jun 2015 dan menubuhkan PAN pada 16 September 2015, manakala Dato' Husam telah dipecat dari PAS pada 23 April 2016.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace