Masuk PAS kerana dunia, kamu akan resah

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SETENANG AIR -SIRI 11

KITA boleh menipu manusia tetapi mustahil boleh membohongi hati sendiri. Siapa yang tidak sukakan ketenangan, kegembiraan dan kepuasan dalam setiap perbuatan kita. Inilah yang dirasai sejak mula saya bersama PAS sehingga kini, walaupun ketikanya bahtera PAS dipukul dan dilambung gelombang besar yang bisa memabukkan.

Penat tapi tenang, kecanduan dan kerinduan apabila ketika berpisah dengannya, keseronokan memanjang bersamanya walaupun diterjah dengan perbagai mehnah dan tribulasi, semua ini adalah cetusan dari keyakinan bahawa bahtera ini tidak akan tenggelam dan tersasar dari tujuan perjalanannya.

Tidak akan berduka orang yang yakin dengan Allah dan Rasul-Nya. Tidak akan goyah orang yang bekemudikan al-Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias. Jiwa yang meletakkan pergantungan diri kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa tidak mungkin akan dilanda kedukaan. Tidak akan rasa tersia orang yang yakin perjuangannya mendapat keredhaan Allah SWT.

Dari keyakinan itu ia mendorong jiwa untuk berjuang dijalan-Nya, menghabiskan harta dan masa kerana perjuangan, tidak kenal penat lelah, ada duit atau tiada, jiwa akan rasa begitu puas apabila dapat membantu perjuangan meskipun sedikit, sentiasa dilanda kecanduan dan kerinduan untuk membantu perjuangan PAS.

Siapa yang berada di dalamnya pasti akan merasai ini, siapa yang keluar darinya pasti akan merinduinya. Penat itu datangnya pengorbanan, pengorbanan itu lahir dari curahan semangat, semangat itu datangnya dari dorongan keyakinan, keyakinan itu sangat menenangkan, yakin dengan kekuasaan Allah SWT, yakin dengan janji Allah SWT dan yakin dengan kebenaran perjuangan.

Krisis keyakinan akan mencabut ketenangan, mencabut keseronokan berjamaah, mencabut rasa sanggup berkorban untuk berjuang. PAS tidak kuat dengan jamaahnya, dengan hartanya, dengan simbulnya tetapi PAS itu kuat kerana dasarnya yang sentiasa dipelihara Allah SWT Islam.

Kalau orang menerimanya kita gembira, jika orang membencinya kita juga gembira, tiada orang yang boleh mendukacitakan kita, kalau mereka kata kita akan berduka kerana ditinggalkan mereka, mereka sedang ditimpa perasan, kita berjuang bukan kerana mereka tetapi kerana Allah yang menciptakan kita. Walaupun ujian ini sepahit hempedu, namun kasih kita kepadanya semanis madu.

Kalau kita berada didalam PAS kerana Islam, sentiasalah akan merasai ketenangan dan kegembiraan. Tapi kalau duduk dalam PAS kerana nak genggam dunia, kamu akan keresahan kerana genggam benda yang rapuh dan binasa. Takkan gembira orang yang berpaut pada sesuatu yang rapuh kerana sentiasa akan rasa diri tidak selamat. Yakinlah kekuatan itu datang-Nya dari sisi Allah SWT, inilah sumber kekuatan. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace