Clement Bayang gigih kempen Dr Najiha

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Bekas calon PAS N.60 Kakus (Sarawak), Clement Bayang antara anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS yang gigih membantu kempen calon PAS P.067 Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Dr Najiha juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang turut bertanggung jawab ke atas Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Beliau yang telah berkampung sejak minggu lalu bertekad terus menjalankan kerja-kerja pilihan raya hingga hari pengundian.

Katanya, beliau mahu menyedarkan masyarakat di sini bahawa perjuangan berteraskan agama hanya dimartabatkan oleh PAS, berbeza dari Umno yang material.

"Saya beritahu mereka (pengundi), saya dari Sarawak. Saya orang Iban, saya Kristian. Tapi saya sokong PAS kerana hanya PAS berjuang berasaskan agama.

"Umno-BN banyak main duit, sebab itu masyarakat menjadi rosak. Kita akan kempen sungguh-sungguh. Saya lagi suka buat kerja pacak-pacak bendera," ujarnya ketika ditemui di Pekan Manong, di sini hari ini.

Beliau juga menyeru agar para petugas PAS sentiasa aktif menyaingi BN dalam PRK ini untuk menarik perhatian pengundi.

Di kesempatan kunjungan Dr Najiha ke Kampung Semat, Manong, Clement turut serta mengiringi calon ke Bazar Ramadan dan berkempen di situ. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace