Jawapan kepada soalan Bersih 2.0 - Dr Rani

HARAKAHDAILY | .

Sebagai calon PAS bagi PRK P.093 Sungai Besar, saya merasakan soalan-soalan yang ditanya oleh Bersih 2.0 adalah relevan untuk dijawab.

Soalan 1

Jika anda menjadi Ahli Parlimen, apakah anda akan menyokong penyingkiran Najib selaku perdana menteri dan 10 pembaharuan institusi yang dituntut oleh Bersih 2.0?

PAS mahu menyingkirkan seluruh kerajaan Umno BN yang diterajui PM Datuk Seri Najib Razak dan diganti dengan kerajaan alternatif yang baru. Menggantikan Najib sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Jikalau Najib menggunakan OSA untuk merahsiakan laporan audit 1MDB, penggantinya juga akan menggunakan cara yang sama yang dipelajari sejak zaman Tun Dr Mahathir yang menggunakan OSA dalam perjanjian IPP and lebuh raya yang mencekik kehidupan rakyat sehingga kini. Jika dipilih sebagai ahli parlimen, saya akan menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan Umno BN.

PAS tidak mahu ada saham dalam menyelamatkan Umno dengan membantu mereka yang berhasrat membantu Umno mendapatkan presiden baru yang bakal memberikan nafas baru kepada BN. Mengekalkan Umno, sama ada ada Najib ataupun tiada Najib, adalah satu kesilapan yang membawa bala kepada rakyat dan negara. PAS akan lawan Umno dan sesiapa yang ingin mengekalkan Umno, seperti yang berlaku di kedua-dua PRK hari ini.

PAS adalah lawan politik Umno pada setiap PRU dan PRK, terutamanya di Semenanjung Malaysia sejak ditubuhkan. Cuma selepas ini dijangka ada sebuah parti baru yang akan memberi nafas kepada Umno dalam setiap perlawanan 1 lawan 1 di antara PAS dan Umno.

10 pembaharuan institusi yang dituntut Bersih 2.0

1. Penambahbaikan pilihan raya
2. Menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya sebuah badan di bawah Perlembagaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen
3. Menghalang Perdana Menteri daripada memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan
4. Penambahbaikan Parlimen
5. Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab kepada Parlimen
6. Mengasingkan Peguam Negara daripada tugas dan peranan pendakwaraya
7. Menggubal undang-undang kebebasan maklumat di peringkat persekutuan dan negeri
8. Menteri dan penjawat awam tertinggi perlu mengisyithar harta
9. Memansuhkan atau meminda undang-undang zalim
10. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

PAS menyokong kesemua di atas. Cuma mungkin cara kita berbeza dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Tidak mengapa cara kita berbeza, asalkan hasrat boleh dicapai.

Soalan 2

Jika anda menjadi Ahli Parlimen, adakah anda akan menyokong pembaharuan untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, termasuk perakaunan kewangan telus oleh calon-calon?

Ya. Malah saya akan menuntut agar sistem pilihan raya first past the post diganti dengan proportional representation yang berdasarkan undi popular. Ini akan menjadikan pilihan raya lebih bebas dan adil. Umpamanya di Selangor yang mempunyai 56 kerusi, parti mana yang mendapat undi popular 60%, akan mendapat 60% jumlah kerusi yang dipertandingkan. Di Malaysia, medan pilihan raya tidak adil. Padangnya tidak pernah rata. Dan sistem pilihan raya yang berdasar proportional representation akan mengatasi masalah ini dan juga penyalahgunaan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

DR ABD RANI OSMAN
Calon Rakyat PAS PRK P.093 Sungai Besar
8 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 8/6/2016

Share on Myspace