Kubu Umno di Dabong ditembusi PAS

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Sebelum ini Kampung Kuala Mahligai Dun Dabong sukar ditembusi PAS, namun selepas pilihan raya umum lepas, situasi itu beransur-ansur bertukar rentak.

Sebuah madrasah yang diasas pendokong Umno dicat biru kini bertukar warna kepada hijau.

Malah Penyelia Dun Dabong Ku Zaki Ku Hussin sejak 2013 dibenarkan menyampaikan kuliah agama di madrasah tersebut.

“Saya pergi sebulan sekali untuk menyampaikan kuliah di madrasah terbabit. Sedangkan sebelum ini kita tidak dibenarkan menyampaikan kuliah di situ.

“Dan hasil program tarbiah dan aktiviti dijalankan Muslimat Dun Dabong akhirnya membuahkan kejayaan apabila Sabtu lepas 40 ahli dan penyokong Umno di situ menyertai PAS,” katanya di sini.

Mereka menyerah borang memohon keahlian PAS kepada Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Turut menyertai PAS pada program berkenaan bekas pemimpin Cawangan Umno dan pemuda kampung berkenaan.

Pada majlis tersebut Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan keperluan harian kepada penduduk Kampung Kuala Mahligai.

Bantuan itu disumbang Persatuan Anak Kelantan Perantau (Perakan) sempena menyambut Ramadan.

Ku Zaki juga berkata penyertaan bekas ahli dan penyokong Umno di Kuala Mahligai memberi suntikan semangat kepada jentera PAS di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi menghadapi pilihan raya kecil 18 Jun ini.

“Biar pun PAS berdepan dengan BN dan PAN di kedua-dua kerusi tersebut,  namun sokongan akar umbi terhadap PAS semakin meningkat sekarang,” ujarnya.   – HARAKAHDAILY  8/6/2016

Share on Myspace