Tiada masalah saya sokong calon saya percaya - Khalid

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin calon yang diketengahkan PAS pada Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman akan berbakti kepada semua kaum tanpa mengira latar politik dan agama.

"Walaupun Dr Rani merupakan wakil PAS, tetapi tatacara kerja beliau semasa bersama saya menjadi Adun, dia tidak bezakan sesiapa sama ada ahli PAS atau bukan ahli. Semua kaum dia seimbang.

"Oleh sebab itu saya ingin memberitahu bahawa Dr Rani akan membela sesiapa pun walaupun bukan daripada PAS," kata bekas Menteri Besar Selangor itu dipetik laman web merahkuning.com.

Tambah Khalid, beliau sudah mengenali Dr Abdul Rani sebelum beliau melibatkan diri dalam politik.

"Saya kenal Dr Rani sewaktu kami melakukan program kemasyarakatan bersama dahulu sebelum saya melibatkan diri dengan politik.

"Jadi tidak ada masalah untuk saya menyokong calon yang saya percaya," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Petang semalam, Abdul Khalid Ibrahim turun berkempen di sekitar Pekan Sungai Besar dan bazar ramadan untuk menerangkan tawaran PAS kepada penduduk Sungai Besar.

Share on Myspace