Guna media perjelas pindaan Akta 355

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan disaran menggunakan media masa termasuk televisyen bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya kerajaan boleh mengiklankan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), perkara yang sama boleh dibuat untuk menjelaskan pindaan Akta 355.

“Orang ramai pada awalnya tidak faham mengenai GST namun akhir tahu selepas diiklan secara berterusan oleh kerajaan,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Pada 25 Mei lepas anggota parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentang usul RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama di parlimen selepas diberi laluan kerajaan.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata kerajaan Kelantan memberi penerangan kepada masyarakat termasuk bukan Islam berkaitan perundangan Islam sejak 1993.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan RUU Kanun Jenayah Syariah II pada 1993 yang meliputi qisas, hudud, diyat dan takzir.

Biarpun perundangan tersebut belum dapat dilaksanakan kerana halangan perlembagaan, namun setiap tahun kerajaan negeri mengadakan sambutan Hari Hududullah.

“Kerajaan boleh menjemput pakar dalam bidang berkaitan untuk memberi penjelasan di televisen bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat yang tepat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/6/2016

Guna media perjelas pindaan Akta 355

Share on Myspace