Akta 355‬: Apabila kajian 80% pengguna twitter sokong

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Apabila satu hasil kajian mudah oleh seorang tokoh anak muda negara yang melibatkan undian lebih 20,000 pengguna twitter menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan hukum hudud (apatah lagi jika sekadar meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355) untuk orang Islam, maka kita boleh meneguhkan beberapa hakikat berikut:

1) Arus kesedaran Islam di kalangan rakyat adalah semakin bertambah baik dan kuat berbanding dulu.

2) Arus inilah yang menjadi punca kerajaan BN akhirnya bersetuju meminda Akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Adalah nyata liatnya pihak kerajaan sebelum ini untuk menyokong pindaan ini. Tekanan tinggi oleh rakyat di samping faktor-faktor politik dan selainnya akhirnya memaksa kerajaan untuk bersetuju meminda akta ini melalui rang undang-undang persendirian Presiden PAS.

3) Arus kesedaran Islam adalah paling ketara di kalangan penjawat awam dan para ilmuan muslim. Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat.

4) Fenomena ini menguatkan hakikat bahawa perubahan atau islah sesebuah kerajaan, sebagaimana ia bermula dari atas oleh pemerintah sendiri, ia juga boleh bermula dari bawah oleh rakyat yang menjadi faktor pendesak yang kuat.

5) Kebanyakan tuntutan perjuangan PAS yang diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan selama ini banyak dibantu dan disokong oleh arus rakyat daripada pelbagai peringkat. Ini menunjukkan PAS lebih berperanan dan lebih cepat membina pemikiran rakyat berbanding membina pemerintah.

6) Suatu hari tuntutan ke arah sebuah kerajaan yang adil, bersih, cekap dan berintegriti akan pasti tercapai. Sukar untuk melihat cepatnya kerajaan berubah. Tetapi kerajaan pasti berubah dengan berubahnya minda dan pemikiran rakyat yang sedang bergerak begitu positif.

7) Gerakan Islam (PAS) usah gusar dengan tuduhan musuh bahawa mereka hanya tahu berbicara mengenai hukum dan syariah Islam tetapi membelakangkan bicara mengenai penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan (BN) dalam pelbagai skandal ekonomi dan kewangan. Hakikatnya PAS-lah pemilik penentangan terhadap kerajaan yang korup sejak dulu lagi. Ia sejarah yang ditulis tinta emas. Ia tidak akan berubah dengan izin Allah.

8) Hanya sanya yang menakutkan musuh adalah kecenderungan rakyat untuk kembali kepada Islam yang syumul dalam pemerintahan negara.

9) Matlamat mereka adalah menukar kerajaan BN. Matlamat PAS ialah menukar atau membina sebuah kerajaan dengan nilai-nilai Islam yang sejagat dan syumul.

10) Menjadi kewajiban setiap individu muslim untuk terus memugar kesedaran dan kebangkitan Islam dalam negara. Ia perjuangan yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu. Jangan terleka daripada sejarah gemilang Islam di tanah air tercinta dengan tipu daya dan makar pihak yang memusuhi Islam. - HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace