Isu papan iklan: Perbuatan golongan terdesak, bacul

HARAKAHDAILY | .

PAS telah menerima maklumat yang sahih, ada usaha pihak tertentu memacak papan iklan (billboard) yang mengandungi provokasi terhadap PAS semalam.

Papan iklan tersebut telah menuduh PAS sedang berusaha untuk bergabung dengan Umno, malah turut bersekongkol dengan Skandal 1MDB yang membabitkan dana sebanyak RM4.2 billion.

Dengan tegasnya, PAS menyatakan bahawa fitnah ini sangat kotor, dilakukan oleh golongan yang sangat terdesak untuk meraih undi.

PAS menyertai PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah untuk bertentangan melawan Umno yang menjadi tunjang Kerajaan Malaysia hari ini. Penentangan PAS turut membabitkan kegagalan Umno dalam menguruskan dana dan harta negara, termasuklah isu yang melibatkan 1MDB.

Semenjak isu ini timbul, PAS secara konsisten mendesak supaya dilakukan siasatan terhadap isu ini, malah Lajnah Politik dan Pilihanraya PAS telah mendesak diwujudkan Suruhanjaya DiRaja untuk siasatan tersebut.

Tindakan pihak-pihak tertentu yang 'baling batu sembunyi tangan', memacak papan iklan yang cuba membabitkan PAS bersekongkol dengan skandal ini, adalah tindakan yang bacul.

PAS mencabar pihak yang terlibat untuk membuat tuduhan secara terbuka terhadap PAS, bagi membolehkan PAS mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Di samping itu, PAS juga meminta pihak yang berwajib termasuk PDRM dan SPR melakukan siasatan terhadap insiden yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace