PRK: Strategi PAN, DAP makan diri

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kira-kira lapan hari lagi menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, PAN yang hadir bagi merebut sokongan pengundi semakin tercalar.

Di Kuala Kangsar Timbalan Pengerusi PAN Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin terpaksa memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketika berceramah di Kampung Sayong Lembah 6 Jun lalu Nizar dilapor berkata Allah memilih pilihan raya di Kuala Kangsar akibat kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Manakala di Sungai Besar papan iklan bersifat perkauman yang menempelak BN dan PAS di Sekinchan diakui dipasang DAP.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dikatakan mengakui dibuat parti itu. Papan iklan itu diarah diturunkan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keributan yang berlaku itu memperlihatkan pertelingkahan dalaman berlaku antara pimpinan Pakatan Harapan terhadap strategi kempen yang makan diri sendiri.

Malah kenyataan berulang kali Pengerusi PAN Kelantan kononnya 10 Adun PAS dijangka keluar parti selepas Datuk Husam Musa dilucut ahli PAS tidak berlaku sehingga sekarang.

Kini lebih sebulan selepas Adun Salor digugur keahlian PAS belum ada wakil rakyat PAS di Kelantan mengisytiharkan keluar parti.

Sedangkan sebelum ini Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah acap mengulangi kenyataan itu biarpun dinafikan Adun-Adun terbabit.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tempoh yang disebut Pengerusi PAN sudah berlalu.

“Sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang pakar dan strategis. Sepatutnya beliau malu dengan membuat kenyataan seperti itu.

“Kenyataan yang dibuat terbukti tiada asas. Jangkaannya meleset,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace