Isu papan tanda: PAS yakin pengundi sudah matang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Tindakan DAP menaikkan papan iklan provokasi terhadap PAS bukan sahaja tidak berakhlak tetapi perbuatan itu telah membawa kepada fitnah dan berbaur perkauman, demikian menurut Pengarah Kempen PAS PRK Sunga Besar, Ustaz Hasbullah Ridzwan.

Bahkan katanya, tindakan itu menggambarkan betapa mereka amat terdesak dan sanggup berkempen tanpa mengikuti tata cara yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam isu ini, beliau melihat seolah-olah Parti Amanah Negara (PAN) begitu mudah tunduk dengan tindakan DAP dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

"Ia juga membuktikan kecelaruan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan, ada yang mengiya dan ada yang menafikan tindakan menaikkan papan iklan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Gombak Setia yakin dan percaya pengundi di Sungai Besar sudah matang dan tahu bahawa PAS bukan seperti yang dituduh di papan iklan tersebut.

"Kita lihat pengundi agak terkejut dan tidak sangka Pakatan Harapan menggunakan kempen tidak bermoral seperti ini untuk meraih undi. Tindakan ini akan membantu meningkatkan sokongan kepada PAS,"katanya.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak pimpinan untuk mengambil tindakan sewajar terhadap kempen berbaur fitnah seperti itu.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengakui pihaknya yang menaikkan papan iklan provokasi terhadap PAS di Sekinchan.

Papan iklan tersebut mempunyai logo PAN dan menggunakan warna rasmi parti iaitu jingga, bagaimanapun PAN turut menafikan mereka bertanggungjawab terhadap papan iklan tersebut. – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace