Papan tanda dedah wajar sebenar PAN

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Propaganda fitnah dimainkan PAN pada kempen PRK Kuala Kangsar menunjukkan identiti diri, sikap politik dan hala tuju sebenar parti baharu itu.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkara itu dilakukan dengan menaikkan papan iklan besar (billboard) secara terang-terangan.

"Tanpa berselindung lagi, tanpa rasa malu. Cara kempen sama juga digerakkan DAP pada kempen PRN Sarawak baru-baru ini. PAN kononnya tidak tahu menahu.

"Tetapi di media sosial ramai anggota mereka sebar bahan sama dari 'billboard itu. Malah, DAP mengakui mereka yang naikkan. 'Billboard' sama dinaikkan di Sungai Besar.

"Apa maknanya? Bukti penyataan selama ini bahawa PAN itu khadam DAP, adalah benar," ujarnya.

Beliau tidak terkejut dengan propaganda fitnah tersebut kerana itulah juga sikap politik yang mereka cetuskan semasa di dalam PAS dahulu.

Jelasnya, rekayasa mereka itulah membantut dan membalikkan fitnah terhadap pembawaan Islam oleh PAS, sekali gus mencalar reputasi PAS.

"Dahulu mereka menguasai. Buat pelbagai kaedah. Ada masa serang melulu lawan politik. Tetapi ada waktu lain mereka pukul diri sendiri untuk timbulkan simpati kononnya lawan memukul.

"Mereka sebenarnya tidak ada dasar berpolitik yang jelas. Agama pun boleh dimanipulasikan mereka. Bayangkan permainan politik sebegini dilakukan terhadap rakyat. Apa kesannya?

"Syukur mereka tiada lagi dalam PAS. Sebelum ini, pendekatan politik matang dan sejahtera yang dibawa kepimpinan ulama PAS telah dirosak dan dihalang mereka," dedah beliau lagi.

Tambah Akmal, rakyat perlu menyedari bahawa hala tuju PAN hanya semata-mata kuasa dan tidak ada matlamat terhadap keharmonian rakyat.

Bahkan jelas, dari kempen dilakukan parti itu boleh mencetuskan rasa tidak senang serta ketegangan terhadap pelbagai pihak.

Oleh itu, beliau menyeru pengundi agar menolak parti tersebut. - HARAKAHDAILY 10/6/2016

Share on Myspace