Pemuda PAS Perak puji sikap terbuka penduduk K Kangsar

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak., Hafez Sabri memuji keterbukaan dan ramah mesra yang ditunjukkan penduduk Kuala Kangsar.

Beliau berasa bangga memperkenalkan sifat warga Bandar Diaja itu kepada para petugas PAS yang datang dari seluruh pelosok tanah air sempena PRK P.067 Kuala Kangsar.

"Penduduk Kuala Kangsar telah mewarisi tamadun dan sejarah yang ada di sini termasuk budaya dalam berhubungan atau bermasyarakat.

"Mereka menjadi duta memperkenalkan segala keunikan dan kemasyhuran Bandar Diraja. Kemesraan mereka membanggakan kami warga Perak," ujarnya.

Menurut beliau, dalam pelbagai warna politik yang ada juga, penduduk Kuala Kangsar telah menunjukkan keterbukaan dan kematangan demokrasi.

Jelasnya, perbezaan yang ada tidak menjadi penghalang untuk bermuamalah serta memenuhi hajat antara satu sama lain.

Katanya, keharmonian seperti itulah yang mesti dipupuk dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

"Jadi saya berharap, pengalaman bersama penduduk di sini akan menjadi pengalaman manis yang menjadi buah mulut di mana-mana," ujarnya.

Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad berdepan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (PAN) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) pada PRK Kuala Kangsar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong kerana penyandang, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - HARAKAHDAILY 10/6/2016

Share on Myspace