Kempen: Jangan korbankan keharmonian penduduk

HARAKAHDAILY | .

PAS menggesa kepada parti-parti politik yang bertanding pada PRK Sungai Besar agar berusaha mengekalkan keharmonian dalam kalangan penduduk tempatan.

Pilihan raya akan berakhir pada 18 Jun ini dan PAS berharap selepas pilihan raya hubungan akrab di kalangan anggota masyarakat akan terus kekal.

Pilihan raya tidak seharusnya mengorbankan keharmonian masyarakat.

Maka di atas semangat tersebut PAS menolak sebarang budaya politik melampau atau ekstrem.

PAS juga menolak politik perkauman yang sempit.

Serangan berbentuk perkauman hendaklah dielakkan.

Serangan peribadi juga perlu dijauhkan sama sekali.

Kempen hendaklah berdasarkan fakta-fakta yang jelas dan bukan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Spekulasi berdasarkan andaian-andaian atau persepsi semata-semata adalah bukan budaya politik yang profesional.

Tambahan pula kita berada pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sensitiviti agama dan kaum mesti dijaga agar tidak mencetuskan sebarang ketegangan.

Selain dari itu, cara hidup dan tradisi penduduk tempatan tidak seharusnya diganggu tetapi difahami.

Semoga PRK Sungai Besar akan menjadi yang bersih dan telus seperti mana pilihan raya di negara-negara maju.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pengarah PRK Sungai Besar / Naib Presiden PAS
10 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 10/6/2016

Share on Myspace