PAS kaji penyertaan dalam Angkatan Perpaduan Ummah

HARAKAHDAILY | .

PAS KAJI PENYERTAAN DALAM ANGKATAN PERPADUAN UMMAH  (10 JUN 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk mengkaji dan meneliti Perlembagaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum menyertai gabungan tersebut.

PAS yang mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, S46 dan serpihan PAS, Berjasa bermula sejak Dewan Pemuda PAS menganjurkan Majlis Makan Malam Pemikir Ummah di Kelana Jaya pada 23 Disember 1988 yang mempertemukan pemimpin Team B Umno, Tengku Razaliegh Hamzah dengan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Akhbar Watan pada 3 Januari 1989 menyifatkan kerjasama PAS-S46 sebagai satu alternatif kepada Umno-BN.

Dalam masa yang sama, pemimpin Team B Umno turut berunding dengan Berjasa sejak 4 November 1987 untuk merangka pakatan baru politik Melayu bagi mengalahkan Umno dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan.

Mereka bersetuju menjadikan PAS sebagai rakan politik dalam hal ini, sedangkan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tegas menyatakan kerjasama ini hanya boleh berlaku jika S46 menerima Islam sebagai asas perjuangan.

Ketika rundingan teknikal sedang berlangsung antara pakatan Berjasa-S46 sedang berlangsung, pada Februari 1989, pakatan kedua-dua parti tersebut telah merancang mendaftarkan sebuah gabungan parti politik yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 12 Februari 1989, PAS menegaskan sikap untuk tidak menyertai APU sehingga semua hal teknikal diselesaikan.

Namun begitu, serentak dengan itu juga, PAS telah bekerjasama secara tidak rasmi dalam beberapa Pilihan Raya Kecil di Ampang (28 Januari 1989), Teluk Pasu (25 Jun 1989), Pantai Merdeka (24 Mac 1990) dan Kijal (1 Ogos 1990), selain menganjurkan beberapa program dengan "peraduan ummah" seperti Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam (21 Ogos 1988), Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (9-10 September 1988) dan Seminar Perpaduan Ummah (28 Oktober 1988).

Tujuan utama tindakan PAS ini adalah untuk mengekal mementum politik ummah, selain mengelakkan S46 membentuk kerjasama dengan pihak lain yang merugikan PAS.

Di peringkat dasar, PAS telah mengkaji strategi politik dalam menghadapi perubahan ini dengan kertas Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dan kertas Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 9 Jun 1989 yang mencadangkan PAS mewujudkan kerjasama politik ini.

Pada 9 Oktober 1988 juga, PAS telah menerima kertas dasar tahaluf siyasi oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Walau bagaimanapun, dalam kertas Ustaz Abdul Halim, telah dicadangkan supaya PAS mengekalkan identiti dengan simbol Bulan Purnama dan PAS mewujudkan tafahum siyasi (persefahaman politik) dengan APU tanpa menyertai pakatan tersebut. Dalam kata lain diwujudkan kerjasama PAS-APU dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990.

Pada awal Jun 1990, S46 dan Berjasa telah mendaftarkan APU tanpa penyertaan PAS. Sebaliknya, PAS pada 10 Jun 1990 mengambil sikap untuk tidak menyertai APU dan akan mengkaji terlebih dahulu kedudukan Perlembagaan APU dan implikasinya kepada PAS. Di sebalik sikap PAS itu, pada 20 Ogos 1989, serpihan PAS, Hamim telah keluar dari BN untuk menyertai APU.

Walau bagaimanapun, APU yang turut disertai oleh KIMMA pada 1990 telah kekal sebagai sebuah pakatan politik longgar dan tidak rasmi apabila Pendaftaran Peertubuhan pada 10 Julai 1989 menolak pendaftaran APU kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh anggota. Sejak itu, kerjasama PAS-APU berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 10/6/2016

Share on Myspace