Contohi 3 keberanian juara Moto3 Khairul Idham

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menyeru para pengundi PRK P.067 Kuala Kangsar khususnya anak muda, agar mencontohi tiga keberanian sebagaimana yang ditunjukkan Juara MotoGP Dunia, Khairul Idham Pawi.

Menurutnya, pelumba remaja berusia 17 tahun yang popular dengan panggilan “Keon” itu telah menunjukkan bakat dan keberaniannya disalur kepada jalan betul hingga menjadi pelumba profesional serta melakar kejayaan di peringkat dunia.

Katanya, sifat anak muda mesti berani menghadapi persaingan massa dan mencabar diri, tetapi secara benar dan sihat tanpa terjebak dengan anasir dan gejala merosakkan.

Beliau juga memuji Khairul Idham mempertahankan jati diri dan maruah agama apabila mengelak dari meraikan kemenangannya dengan pancutan arak yang menjadi kebiasaan upacara itu di podium pertandingan.

“Ini keberanian luar biasa. Pelumba bila menang dia rai dengan pancut arak. Tapi Khairul Idham lebih utamakan agama dia, pertahan larangan Islam. Ini antara hasil dia dapat dari didikan dan pengajian di Pasti, ajar patuh tuntutan agama.

“Macam tu juga kita dalam kehidupan, kita wajib laksana syariat Allah, pertahan syariat Allah,” ujarnya pada Santai Anak Muda Bersama Khairul Idham Pawi di Dataran Menora, di sini semalam.

Razman turut memuji keterbukaan dan kesediaan anak muda itu hadir ke program anjuran PAS walaupun telah mencipta nama dan sejarah di persada dunia dengan menjadi warga Malaysia pertama menjuarai pertandingan tersebut.

Menurutnya, ramai mereka yang mempunyai kedudukan atau meraih kejayaan tertentu mengelak diri untuk bersama PAS kerana khuatir dilabel sebagai pembangkang serta disekat untuk kelangsungan tertentu.

Oleh itu beliau menyeru khususnya para pengundi agar keberanian anak muda itu diteladani dan dijadikan penguat tekad untuk bersama PAS sebagai petunjuk kematangan dan hak yang diperuntukkan dalam demokrasi.

Anak watan Perak berasal dari Kampung Gajah yang mewakili Honda Asia Team itu melakar sejarah mendominasi saingan perlumbaan di atas trek basah dengan memenangi kejohanan tersebut dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal April lalu. - HARAKAHDAILY 11/6/2016

Share on Myspace