Rakan sepengajian bantu kempen Dr Najiha

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Kempen calon PAS PRK Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad mendapat tambahan kekuatan dengan kehadiran rakan-rakan sepengajian beliau dari Alumni Universiti Malaya (UM) yang akan membantu untuk memenangkannya.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional, akan menumpukan usaha menemui seramai mungkin Alumni UM serta golongan akademik dan profesional bagi memastikan undi kepada Dr Najiha.

Menurut wakil anggota kumpulan tersebut, keterlibatan mereka untuk menyokong, memberi semangat dan memenangkan calon PAS itu adalah bagi memastikan wujud keseimbangan suara di Dewan Rakyat mewakili suara Islam dan Melayu.

Harapan disandarkan mereka kepada wakil PAS atas kredibiliti, integriti dan profesi bagi menterjemah dan menjamin banyak perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara.

Dari perhatian diberikan mereka, pengabaian dan kecurangan yang berlaku dalam pentadbiran negara ditunjangi Umno-BN telah menggugat hak rakyat dan institusi penting termasuk keharmonian kaum dan agama.

Oleh itu, usaha mereka untuk mendorong kecenderungan undi kepada Dr Najiha dan memenangkannya akan menjadi sebahagian peranan mengukuhkan kembali suara PAS di Parlimen yang sebelum ini berkurang ekoran beberapa Ahli Parlimen berpaling tadah.

Mereka juga berharap PAS akan mencapai kemenangan di Sungai Besar yang menampilkan Dr Abdul Rani Osman, sekaligus menambahkan dua suara PAS dan mengurangkan dua suara BN.

Dr Najiha merupakan graduan dalam bidang perubatan dan pembedahan dariu Universiti Malaya dan kini merupakan doktor perubatan yang mempunyai klinik persendirian di Parit, Perak serta aktif dalam PAS.

Selain merupakan Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, beliau juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat selain terlibat dalam banyak NGO.

Kempen beliau turut mendapat sokongan dari kumpulan pasukan peguam dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang memberi khidmat percuma kepada penduduk di sini.

Kehadiran Alumni UM itu telah diraikan Dr Najiha dan suami serta Adun Chukai, Hanafiah Mat dalam satu majlis iftar yang turut disertai Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali di Kampung Senggang, di sini semalam.

Share on Myspace