Kaum Tionghua masih ada hati dengan PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Di sebalik pelbagai tohmahan dan manipulasi, hakikatnya masih ada masyarakat kaum Tionghua yang menyokong perjuangan PAS.

Dari pertemuan bersemuka secara individu yang dijalankan hampir seminggu kempen mendapati kebanyakan pengundi kaum Tionghua ternyata berdepan kerencaman maklumat.

Namun, kebanyakan mereka mengakui bahawa PAS prihatin, mesra dan bersungguh dalam memberi khidmat serta mengurus hal ehwal rakyat, selain dilihat lebih telus.

Malah, ramai menyedari parti-parti lain hadir hanya berkepentingan untuk meraih undi tanpa menjalin hubungan berterusan.

Rata-rata mereka meluahkan rasa kecewa seakan dipergunakan, tetapi diabai dan didiskriminasikan dengan sentimen perkauman serta dimomokkan pelbagai cerita tidak benar.

Kehadiran dan penerangan daripada para petugas PAS banyak mengejutkan mereka mengenai fakta sebenar dan mencerahkan situasi.

"Kita sudah lama mahu perubahan. Tapi selama ini kita pun tidak tahu ini cerita (segala fitnah ke atas PAS). Kita pun susah mahu tunjuk kita sokong PAS.

"Tapi 'you' orang jangan risau, undi kita orang tak tau. Kita bagi sama PAS, tuhan tahu kita undi sama 'you'," terang seorang pengundi kaum Tionghua yang enggan nama disiarkan.

Kebanyakan mereka juga meminta agar pertemuan bersemuka dari pintu ke pintu dijalankan sekerap mungkin dalam menerangkan isu-isu.

Laporan petugas PAS juga mendapati pihak-pihak lawan yang menemui pengundi kaum Tionghua banyak menyebarkan adu domba keterlaluan.

Sementara itu calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad terus menggiatkan kempen termasuk menemui pengundi-pengundi kaum Tionghua.

Kebolehan beliau berbahasa Cina dilihat menjadi kelebihan yang menarik interaksi dan keterujaan mereka terhadap doktor perubatan itu.

Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad berdepan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (PAN) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) pada PRK Kuala Kangsar. - HARAKAHDAILY 11/6/2016

Share on Myspace