Bahan kempen PAS PRK Kuala Kangsar disabotaj

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Terdapat pihak tertentu sengaja mensabotaj bahan-bahan kempen calon PAS pada PRK Parlimen Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad dengan menampal pelekat PAN.

Perbuatan yang didapati berlaku kepada bahan-bahan kempen dari susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke bandar Kuala Kangsar itu dipercayai bermotif provokasi.

Tinjauan petugas PAS mendapati, gambar Dr Najiha pada bunting telah ditutup dengan pelekat oren berlogo parti itu selain di atas bendera PAS.

Menurut Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin, perkara seperti itu telah menjadi rutin mehnah dan cabaran yang ditempuh setiap kali pilihan raya.

Jelasnya, petugas PAS tidak mudah terpengaruh dengan provokasi tidak matang seperti itu.

"PAS sejak dahulu menjalankan kempen matang dalam kerangka akhlak Islam dengan tidak menjadikan peribadi sebagai sasaran serangan.

"Malah, PAS jauh sekali berkempen dengan kaedah politik Marchievelli iaitu 'matlamat menghalalkan cara' yang dijalankan pihak tertentu dengan manipulasi, provokasi mahupun fitnah.

"Kita telah arah petugas buang stiker tersebut dan jika terdapat lagi kita akan bawa ke aduan Pemantau SPR," ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/6/2016

Share on Myspace