Bila ada PRK, boleh pula kerajaan bantu penoreh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Adakah penoreh getah harus menunggu berlaku pilihan raya kecil (PRK), barulah BN mahu menyedari bahawa harga sekerap terlalu rendah hingga memperosok kehidupan penoreh ke sudut paling sukar?

Demikian pertanyaan dilontarkan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, dengan berlaku PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, boleh pula dengan serta merta kerajaan mengumumkan bantuan khas kepada penoreh RM500 seorang dengan dana RM194 juta.

Berikut kenyataan penuh beliau.

DANA KHAS SEGERA KERAJAAN UNTUK 'MEMBANTU' PENOREH SEMPENA PILIHAN RAYA KECIL ADALAH RASUAH

Adakah penoreh getah harus menunggu berlaku pilihan raya kecil, barulah BN mahu menyedari bahawa harga sekerap terlalu rendah hingga memperosok kehidupan penoreh ke sudut paling sukar?

Dengan berlaku pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, boleh pula dengan serta merta kerajaan mengumumkan bantuan khas kepada penoreh RM500 seorang dengan dana RM194 juta.

Hari ini kakitangan Risda dimaklumkan bertungkus lumus menyiapkan 30,000 keping cek, yang akan diserahkan oleh Timbalan Etdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi  kepada penoreh di Kuala Kangsar.

Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) berpendirian ini bukanlah satu pertolongan kerajaan kepada penoreh, tetapi ia adalah rasuah dan langkah membeli undi oleh Barisan Nasional.

Kalau kerajaan benar-benar prihatin mahu membantu penoreh, kenapa baru sekarang ia dilakukan, sedangkan harga getah terperosok di tahap sekarang telah berlarutan lebih tiga tahun lalu.

Kerajaan pimpinan BN ternyata sedang membudayakan 'cash is king', berwewenang dengan rasuah menjelang hari pengundian.

Jika benar dana khas itu untuk bantu penoreh, kerajaan patut menggunakannya sebagai penambah nilai harga sekerap, daripada RM2.00/kg menjadi RM3.00/kg. Seluruh penoreh di negara ini boleh menerima manfaat segera dan merasai kelegaan dengan kenaikan itu. Ia lebih adil dan saksama, yang menoreh dan menjual sekerap akan menerima manfaatnya.

Purata pengeluaran getah sebulan di Malaysia ialah 72,000 tan ataupun 72 juta kilogram. Jika harga setiap sekilogram ditokok RM1, kerajaan hanya berbelanja RM72 juta sebulan. Peruntukan khas RM194 juta itu mampu bertahan kira-kira 3 bulan. Bayaran boleh saja dibuat kepada pengilang, bergantung kepada jumlah getah yang dibeli dari pekebun dan peraih.

Pemberian one-off RM500 seorang takkan bertahan lebih sebulan dengan kos kehidupan sekarang. Oleh sebab itu, bantuan ini dilihat hanyalah gula-gula politik BN untuk membeli undi sempena pilihan raya kecil.

Soalan yang sinis bersesuaian dengan sikap kerajaan ini ialah 'adakah perlu ada kematian wakil rakyat barulah kerajaan mahu memandang berat harga getah dan kehidupan penoreh'? Jika begitu keadaannya, patutkah rakyat mendoakan kematian wakil rakyat setiap bulan?

Kerajaan pimpinan BN jangan lupa bahawa tuntutan dana Insentif Pengeluaran Getah (IPG - yang diumumkan dalam belanjawan 2016), sejak Januari sampai sekarang, satu sen pun belum dibayar kepada penoreh. Mantan Timbalan Menteri Kementerian terbabit (MPIC) telah memaklumkan di Dewan Rakyat pada 5 April 2016 bahawa RM12 juta telah dikeluarkan daripada dana IPG untuk dibayar kepada penoreh. Ke mana pergi dana itu, bila pula penoreh akan menerimanya?

Jangan guna dana awam untuk membeli undi untuk BN. Ia satu amalan rasuah. - HARAKAHDAILY 12/6/2016

Share on Myspace