Jangan biar pemimpin BN selesa tabur janji

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Rasa selesa pemimpin BN yang hanya pandai menabur janji kepada rakyat tanpa menunaikannya mesti disekat dengan undi protes.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, rakyat terus dibuai dengan janji manis BN setiap kali musim pilihan raya, tetapi diabaikan setelah mereka mendapat undi kemenangan.

Bidasan beliau itu merujuk kepada isu Jambatan Manong bernilai RM43.5 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

'Ulangan' pengumuman rasmi itu dijangka dilakukan sekali lagi oleh beliau dalam lawatannya ke Kuala Kangsar.

Menurutnya, nyawa penduduk terutama warga emas, kaum ibu dan anak-anak pelajar menjadi taruhan politik serta janji kosong pemimpin BN.

Jelasnya, rutin harian penduduk terpaksa berdepan pelbagai risiko menyeberang Sungai Perak menggunakan bot penambang.

"Calon kita (Dr Najiha) telah pergi sendiri naik bot itu dan merasai penderitaan penduduk. Bukan kita minta jadi apa-apa, tapi kebarangkalian (risiko) tu boleh berlaku.

"Yang berulang alik sungai naik bot tu warga emas, anak-anak kita yang nak pergi sekolah," ujarnya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Bukit Chandan, di sini.

Pembinaan Jambatan Manong yang menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong telah menjadi janji BN sejak beberapa PRU lalu.

Ketika ini lebih 2,000 penduduk terpaksa menggunakan khidmat bot dengan kadar tambang RM1 bagi individu dan RM2 bermotosikal.

Sekiranya tidak menggunakan bot, penduduk terpaksa melalui jalan raya yang perlu menempuh jarak hampir 50 kilometer.

Pada sidang media itu, Ustaz Idris menempelak kegagalan kerajaan diterajui BN menyediakan doktor pakar di Hospital Kuala Kangsar hingga banyak kes terpaksa dirujuk ke hospital lain.

"Tak sepatutnya berlaku. Parlimen Kuala Kangsar ini pernah diwakili oleh Menteri Kanan yang senior dalam kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Di sini Bandar Diraja, bandar sejarah, ada Malay Collage, ada Sekolah Clifford. Tiba-tiba hospital, kerana kekurangan pakar, rujuk ke lain. Enam penggal BN wakili, dia tahu tak tunai janji pun rakyat terus sokong dia.

"Berbeza kawasan diwakili pembangkang selalunya pesat membangun sebab BN nak tarik sokongan di situ. Sebab itu perlu wakil dari pembangkang untuk 'check and balance'.

"Jadi kita minta pengundi pilih Dr Najiha untuk sekat rasa selesa pemimpin BN dari terus membuai rakyat yang menagih janji manis setiap musim pilihan raya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Tegasnya, pemimpin BN tidak ada kesedaran perubahan dan hanya takutkan isyarat peti undi yang menjadi kaedah mengajar mereka untuk cakna dan mengambil berat masalah rakyat. - HARAKAHDAILY 12/6/2016

Share on Myspace