Tingkat hospital K Kangsar, janji di Pendang belum tunai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Janji kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi meningkatkan kemudahan Hospital Kuala Kangsar yang muncul secara tiba-tiba sewaktu tempoh berkempen PRK Kuala Kangsar, maka ia segera mengingatkan rakyat Kedah terhadap janji BN yang dibuat pada PRK Pendang tahun 2002 lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pada PRK Pendang, BN telah berjanji untuk mewujudkan sebuah Hospital Daerah Pendang dan perasmian tapak hospital dibuat di atas tapak yang pernah dijanjikan untuk maksud yang sama beberapa tahun sebelumnya.

"Malangnya sehingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh BN pada PRK Pendang 14 tahun lalu itu, belum menjadi kenyataan," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

KENYATAAN MEDIA PAS KEDAH DI PRK KUALA KANGSAR

PAS Kedah mengucapkan tahniah terhadap pengumuman oleh kerajaan Persekutuan mahu memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi meningkatkan kemudahan Hospital Kuala Kangsar. Ia merupakan keprihatinan tinggi kerajaan BN terhadap kebajikan rakyat. Bagaimanapun oleh kerana janji tersebut muncul secara tiba-tiba sewaktu tempoh berkempen PRK Kuala Kangsar, maka ia segera mengingatkan rakyat Kedah terhadap janji BN yang dibuat pada PRK Pendang tahun 2002 lalu. Pada PRK tersebut, BN telah berjanji untuk mewujudkan sebuah Hospital Daerah Pendang dan perasmian tapak hospital dibuat di atas tapak yang pernah dijanjikan untuk maksud yang sama beberapa tahun sebelumnya.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dalam perasmian Sidang Dun Kedah, pernah menegur Kerajaan Persekutuan kerana melambat-lambatkan pembinaan hospital Pendang yang dijanjikan itu. Tahun lalu Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016 telah menyenaraikan Hospital Daerah Pendang untuk dibina mengikut Bajet 2016.

Malangnya sehingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh BN pada PRK Pendang 14 tahun lalu itu, belum menjadi kenyataan. Maka ada baiknya jika rakyat negeri ini, khususnya pengundi Kuala kangsar berfikir panjang sebelum mempercayai akan janji politik BN yang sering dimungkiri.

Dengan berlaku PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, boleh pula dengan serta merta kerajaan mengumumkan bantuan khas kepada penoreh RM500 seorang dengan dana RM194 juta, sedangkan sejak tiga tahun lalu para penoreh puas menuntut pembelaan dari kerajaan ekoran kejatuhan harga getah, tetapi rayuan masyarakat penoreh tidak dipedulikan.

Jika benar dana khas itu untuk bantu penoreh, kerajaan patut menggunakannya sebagai penambah nilai harga sekerap, daripada RM2.00/kg menjadi RM3.00/kg. Seluruh penoreh di negara ini boleh menerima manfaat segera dan merasai kelegaan dengan kenaikan itu. Ia lebih adil dan saksama, yang menoreh dan menjual sekerap akan menerima manfaatnya.

Purata pengeluaran getah sebulan di Malaysia ialah 72,000 tan ataupun 72 juta kilogram. Jika harga setiap sekilogram ditokok RM1, kerajaan hanya berbelanja RM72 juta sebulan. Peruntukan khas RM194 juta itu mampu bertahan kira-kira 3 bulan. Bayaran boleh saja dibuat kepada pengilang, bergantung kepada jumlah getah yang dibeli dari pekebun dan peraih. Pemberian one-off RM500 seorang takkan bertahan lebih sebulan dengan kos kehidupan sekarang.

Kerajaan pimpinan BN jangan lupa bahawa tuntutan dana Insentif Pengeluaran Getah (IPG- yang diumumkan dalam belanjawan 2016), sejak Januari sampai sekarang, satu sen pun belum dibayar kepada penoreh. Mantan Timbalan Menteri Kementerian terbabit (MPIC) telah memaklumkan di Dewan Rakyat pada 5 April 2016 bahawa RM12 juta telah dikeluarkan daripada dana IPG untuk dibayar kepada penoreh. Ke mana pergi dana itu, bila pula penoreh akan menerimanya?

Lebih malang lagi janji bantuan terhadap masyarakat penoreh, disudahi dengan permintaan oleh Perdana Menteri supaya BN dipilih oleh pengundi dalam PRK ini. Tidakkah ia terang-terangan satu bentuk rasuah? Soalnya, sampai bila rakyat terus mahu diperbodohkan?

DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
12 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 12/6/2016

Share on Myspace