Tuan Guru Abdul Hadi pangku jawatan Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Pangku Jawatan Presiden PAS (12 Jun 2002)

PADA hari ini dalam tahun 2002, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah melantik Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Pemangku Presiden PAS ekoran kesihatan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor yang tidak stabil setelah melakukan pembedahan jantung di Hospital UKM, Cheras pada 10 Jun 2002.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu terpaksa menjalankan tugas-tugas Dato' Fadzil Mohd Noor dalam parti kerana Presiden PAS itu belum sedar sejak menjalani pembedahan bahkan turut mengalami beberapa komplikasi lain.

Pada 11 Mei 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga Ketua Pembangkang telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu setelah diserang sakit jantung ketika menghadiri satu seminar tentang perlaksanaan hudud di Terengganu. Setelah ditahan selama lima hari di hospital beliau dibenarkan pulang, dan beliau telah menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei hingga 2 Jun 2002.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan muktamar ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meluahkan isi hatinya, "... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya bercakap dengan orang yang saya kasihi dan sayang..." ketika menutup muktamar tersebut. Pada 8 Jun 2002, beliau dimasukkan ke Hospital UKM untuk menjalani pemeriksaan jantung dan menjalani pembedahan saluran jantung pada 10 Jun 2002. Pembedahan ini walau bagaimanapun telah menyebabkan beliau diserang stroke dan beliau tidak sedarkan diri.

Ekoran keadaan Ustaz Fadzil Mohd Noor yang semakin kritikal, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Jun 2002 telah melantik Timbalan Presiden PAS untuk memangku tugas-tugas Presiden PAS sehingga beliau sihat.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dilahirkan pada 20 Oktober 1947 dan berkelulusan dari Universiti Madinah dan Universiti al-Azhar mula menjadi pimpinan PAS sejak 1975 bermula dengan jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (1975-1979), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1977-1983), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat (1979-1983) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1979-1981).

Pada 1981, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (kemudian Timbalan Presiden PAS) pada 1989.

Setelah 11 hari memangku jawatan Presiden PAS, pada pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meninggal dunia dan dikebumikan di Kuala Nerang, Kedah. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24 Jun 2002 telah secara rasmi melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai Pemangku Presiden PAS.

Dalam ucapan pertama beliau sebagai Pemangku Presiden PAS pada 24 Jun 2002, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyebutkan, "... pengganti Almarhum tidak sama dengan Almarhum, tetapi kepemimpinan jama'ie sangat penting untuk menang dan mendapatkan keredhaan Allah". Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dipilih secara rasmi sebagai Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 12/6/2016

Share on Myspace