Dewan Ulamak lulus usul harus PAS sertai BN

HARAKAHDAILY | .

DEWAN ULAMAK PAS LULUSKAN USUL KEHARUSAN PAS SERTAI BARISAN NASIONAL (13 JUN 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat meluluskan usul keharusan hukum untuk PAS menyertai BN sebagai sebuah pakatan politik bagi mencapai cita-cita untuk menegakkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Terdahulu, berdasarkan pendirian awal Dewan Ulamak PAS Pusat tentang hukum kerjasama politik ini, PAS telah turut serta dalam penubuhan BN yang didaftarkan pada 1 Jun 1974. BN merupakan pakatan politik lanjutan yang disertai oleh PAS setelah terbentuknya Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain penglibatan PAS dalam Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 1974.

Bagi memperkukuhkan kekuatan politik umat Islam pasca 13 Mei 1969, PAS pada17 Januari 1974 telah bersetuju menyertai pakatan politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah mengarahkan supaya Dewan Ulamak PAS Pusat membuat kajian hukum yang terperinci tentang penyertaan PAS dalam BN, dan pada 27 Januari 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengambil pendirian bahawa harus PAS menyertai BN untuk mencapai matlamatnya dengan syarat PAS dapat mengekalkan identitinya sebagai sebuah gerakan Islam. Berasaskan pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil langkah proaktif sehingga tertubuhnya BN pada 1 Jun 1974.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam ucapan dasarnya telah menggariskan sebab PAS perlu menyertai BN iaitu:

I. Untuk Menjamin keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita (umat Islam) dalam menghadapi masyarakat majmuk;

II. Objektif BN tidak sedikit pun dapat menyekat kebebasan PAS untuk mengembang dan memperjuangkan konsep dan prinsipnya, iaitu Islam. Antara objektif BN ialah "menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan," dan

III. BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) politik yang tidak mengikat identiti PAS, walaupun menyertai pilihan raya menggunakan simbol yang sama.

Selepas Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampaikan pada pagi 13 Jun 1974, di sebelah siangnya, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat telah bersidang. Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat telah meluluskan usul keharusan PAS menyertai BN dengan alasan "...Barisan Kebangsaan (BN) dari sudut pembentukannya, tujuan-tujuannya dan memerhatikan dengan jauh dan cermat keadaan suasana negara kita Malaysia ini serta perkembangan-perkembangan politiknya dan politik negara sekitarnya, dipadankan dengan petunjuk-petunjuk daripada nas al-Quran dan as-Sunnah serta berpandu kepada kaedah-kaedah fiqh, maka kesimpulan dari muzakarah (muktamar ini) sepakat dari ijtihad kami bahawa penyertaan PAS ke dalam BN itu harus jua adanya". Dalam masa yang sama, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat turut meluluskan usul untuk menerima penyertaan PAS dalam BN.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 ini kemudiannya meluluskan usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk membolehkan PAS menyertai BN dengan disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat.

PAS menyertai BN sebagai satu strategi politik antara tahun 1974 hingga akhir 1977 adalah berpandukan keharusan syarak, bukannya bertindak di atas keperluan politik semata-mata sesuai dengan kedudukan PAS sebagai sebuah parti Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace