Mengapa pembangkang hentam PAS siang, malam?

ZAKARIA ISMAIL | .

Pendahuluan

Sistem demokrasi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih semula pemimpin mereka. Rakyat pernah memilih sekumpulan pemimpin daripada parti tertentu. Mungkin mereka gembira dengan corak pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar yang memberi kebaikan kepada rakyat secara khusus dan kepada negara secara umum.

Mungkin juga mereka tidak gembira dan mahukan perubahan.

Jika mereka mahukan perubahan, pemimpin daripada parti yang dipilih sebelum ini tidak lagi boleh diberi peluang keseterusnya. Ini kerana pentadbiran dan dasar-dasar mereka telah terbukti menyusahkan rakyat dan dasarnya didapati dengan jelas merosakkan kemakmuran negara.

Pemimpin daripada parti lain boleh membuka jalan kepada perubahan dasar dan pentadbiran yang lebih cekap, telus dan bertanggung jawab.

BN parti yang perlu diganti

BN telah diberi peluang memerintah sejak sekian lama. Tetapi pemimpin BN lebih gemar menggunakan jawatan dalam kerajaan hanya untuk faedah peribadi dan sebagai alat untuk mengekalkan kuasa. Agenda rakyat hanyalah menjadi agenda kosong yang perlu sekali sekala diberi solekan murah bagi mengaburkan mata para penyokong.

Hasilnya menyaksikan kerajaan dibelenggu dengan pelbagai krisis pentadbiran dan kewangan seperti 1MDB, duit derma 2.6 bilion di dalam akaun seorang penjawat awam nombor wahid, kejatuhan nilai ringgit, 'rompakan' royalti minyak milik negeri, 'ketirisan' dalam berbelanja berjumlah jutaan ringgit dan sebagainya.

Lantaran itu, rakyat dibebani dengan GST, kenaikan harga barang, pembuangan pekerja, peningkatan tarif pelbagai kemudahan asas serta melonjaknya harga barang-barang keperluan.

Janji BN kepada rakyat, sentiasa didapati hanyalah janji yang sering 'dicapati'.

Pilihan raya kecil (PRK) medan buat perubahan

Sepatutnya, pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi medan untuk rakyat menyatakan penolakan total terhadap BN yang mengkhianati amanah rakyat.

Pembangkang sepatutnya menang dengan majoriti besar.

Jika itu benar-benar berlaku, kita mungkin boleh menaruh harapan yang besar untuk melihat rakyat bangkit menumbangkan kerajaan BN di peringkat pusat dalam pilihan raya umum akan datang nanti.

Perpecahan pembangkang

Namun seperti biasa, tiada impian yg dapat dicapai dengan mudah. Pada saat yang segenting ini, parti-parti pembangkang pula berpecah belah!

Dulu dalam Pakatan Rakyat (PR). Formula 1 lawan 1 menentang BN ternyata sangat mujarab. Bila sudah menguasai beberapa negeri, ada parti mula merasa kuat dan ingin mendominasi rakan-rakan dalam PR. Akhirnya, persefahaman longgar yang disepakati bersama suatu ketika dahulu, dirombak satu demi satu di atas alasan untuk mengukuhkan PR.

Ya, mengukuhkan PR dengan cara mengetatkan persefahaman longgar itu mengikut acuan parti dan pemimpin tertentu sahaja. Hasilnya, persefahaman ketat yang diusahakan itu telah merobekkan setiap sudut persefahaman longgar yang sedia ada sebelum ini.

PR pun retak dan pecah seribu!

Dilema pengundi

Akhirnya, rakyat yang bersemangat hendak menumbangkan BN dipaksa membuat pilihan di kalangan pembangkang yang berpecah.

Mula-mula, PAS nak bertanding sebab di situ tempat dia bertanding pada zaman kewujudan PR. Ini membolehkan, formula 1 lawan 1 diteruskan.

Bila PAS nak bertanding, parti serpihan PAS, PAN pun nak bertanding. Alasannya, PAS bukan ahli Pakatan Harapan (PH). Alasan yang paling sinonim dengan PAN ialah PAS hendak berUG dengan Umno. Dan alasan yang paling hebat yang diberikan oleh PAN ialah PAN adalah pengganti PAS dalam semua kerusi yang pernah ditandingi PAS dalam era PR. Pengundi PAS pun akan dipaksa mengundi PAN, tiada pilihan lain.

Perebutan calon pembangkang antara PAS dan PAN dihangatkan lagi dengan DAP yang tak bersetuju PAS menjadi calon mewakili pembangkang.

DAP paling marah dengan PAS kerana hendak memartabatkan hukum syariah dalam negara, antaranya hukum hudud dan qisas. Walaupun undang-undang syariah itu tidak mempunyai bidang kuasa langsung ke atas rakyat bukan Islam di Malaysia. DAP tetap berkeras membangkang hak ummat Islam untuk beramal dengan agama mereka.

Apabila, Kerajaan BN memberi ruang kepada Presiden PAS untuk membentangkan usul persendirian Akta 355 di parlimen, PAS dan Presiden PAS terus dituduh hendak berUG dengan BN. Lebih teruk lagi, PAS dituduh menyokong segala kebobrokan kerajaan BN dan Najib termasuk 1MDB.

PKR juga dengan tidak semena-mena, turut menyatakan hasrat untuk bertanding di Sungai Besar. Juga untuk mewakili PH. Tetapi hasrat yg diluahkan oleh MB Selangor itu, kurang mendapat sambutan.

Akhirnya, PH bersetuju meletakkan calon daripada PAN, parti serpihan PAS yang baru ditubuhkan untuk mewakili PH menentang BN. PAS pula diminta tidak bertanding dan bersatu dengan PH menentang BN.

Kempen yang memeningkan

Apabila PAS meletakkan calon untuk bertanding di kedua-dua kerusi PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, BN dan PH pun meletakkan calon masing-masing. Ada seorang calon bebas yang turut terlibat.

Kempen PH, yang diketuai oleh DAP, dilihat menyerang PAS seawal kempen. Mengundi PAS sama seperti mengundi BN. PAS adalah rakan BN. PAS sokong rasuah, 1MDB, derma 2.6 billion dan lain-lain. Rakyat mesti tolak hudud PAS.

Sesekali kita dapat merasakan PAN hanyalah boneka DAP. Suara DAP mengatasi suara pemimpin dan calon PAN. Lebih daripada itu, DAP dilihat lebih berminat menghentam PAS dan hudud daripada semua segi dan tidak begitu bersungguh-sungguh mengajak rakyat menolak BN dan menyokong PAN. Yang penting ialah rakyat menolak PAS.

PKR pula jelas menunjukkan sokongan kepada wakil PAN. Tetapi PKR tidaklah menghentam PAS sekuat hentaman DAP dan PAN. Sekadar mengambil nama bahawa dia turut sama menghentam.

PAS dihimpit serangan

PAS dalam PRK ini menganggap dirinya melawan BN. Lantas, segala kerakusan, penyalahgunaan kuasa dan kebobrokan rejim BN dibuka helaiannya satu persatu. Tentulah isu yang paling panas 1MDB, GST dan derma 2.6 bilion. Isu kenaikan sara hidup juga begitu dekat dengan pengundi.

Tetapi, ia tidak mudah bagi PAS.

DAP dan PAN menggunakan taktik kempen yang belum pernah digunakan di dalam era PR. Iaitu membanyakkan serangan kepada sesama rakan pembangkang, dan menyerang BN hanya jika mempunyai lebihan masa.

Usul persendirian, RUU 355, yg dibentangkan di parlimen oleh Presiden PAS bagi menambah-baikkan pentadbiran mahkamah syariah, dijadikan 'kambing hitam' yang cukup 'hitam' untuk menuduh PAS berkomplot dengan BN dan meredhai semua jenayah BN. DAP dan PAN dengan sedaya upaya berkempen kepada pengundi bahawa sokongan kepada PAS, adalah sokongan kepada BN!

PAS tiba-tiba berada dalam kandang orang salah. PAS terpaksa mempertahankan dirinya, pada ketika ia juga sedang sibuk menyerang BN. Peluru BN belum mengenainya, tetapi ribuan peluru DAP dan PAN menghujani setiap langkah yang dilaluinya.

BN nampaknya, mempunyai 'pekerja-pekerja' yang tekun bertugas untuk mereka tanpa perlu dibayar gaji.

Delusi DAP dan PAN

DAP dan PAN menganggap perlawanan menentang BN adalah satu perlawanan mudah dan pantas. Segala keburukan BN dianggap jaminan yang pasti bahawa rakyat tidak akan memilih BN.

Mereka lupa bahawa BN adalah lawan yang licik, penuh dengan muslihat dan kejutan. Kebanyakannya dengan cara yang sangat tidak demokratik dan diselubungi penyalahgunaan kuasa. BN ada reputasi dalam menaburkan janji manis dan ugutan. Media, jawatan dan jabatan kerajaan digunakan secara optimum bagi menjamin undi kepada BN.

Mengikut rekod sebelum ini, BN tidak mudah tewas, sekalipun pembangkang bersatu teguh. Jika pembangkang saling bercakaran, BN jelas memiliki dua kelebihan besar yg tidak dimiliki pembangkang.

Tun Mahathir tambah perisa

Tun Mahathir secara terang meneruskan serangannya yang paling tajam kepada PAS, lantaran PAS dapat membaca hasratnya bersama pembangkang hanyalah untuk menyelamatkan Umno.

Tun Mahathir bukan sekadar menyerang PAS tetapi tanpa rasa ralat menyerang DSAI yang meragui ketulenan perjuangannya bersama pembangkang.

DSAI juga seperti PAS, bimbang rejim Mahathir yang disingkirkan oleh Najib, akan kembali berkuasa dengan tersingkirnya Najib. Umno pula sekali lagi akan dilihat bersih dan seterusnya sekali lagi akan mengaburi mata rakyat untuk kekal menguasai negara dengan cara yang lama.

Penutup: Jangan benarkan BN menang

Apa pun sebabnya, DAP dan PAN sepatutnya memberi ruang yang luas kepada PAS untuk menentang BN. DAP tidak bertanding. PAN pula hanya suka cari gaduh dengan PAS daripada memperjuangkan Islam dan hak-hak rakyat.

PAS sudah berdepan dengan BN begitu lama. Jenayah BN terhadap PAS memerlukan berikat-ikat lembaran kajang untuk dipenuhi. Tidak perlu syak lagi tentang usaha PAS untuk mengganti BN.

Janganlah mengganggu PAS untuk menumbangkan BN. Bahkan PAS sepatutnya dibantu di segenap penjuru. Kerana jika BN menang, sekali lagi harapan rakyat yang inginkan perubahan akan berkecai seperti kaca terhempas ke batu. - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Penulis ialah AJK PAS Kawasan Marang.

Share on Myspace