Tuduh PAS gabung Umno hujah budak-budak

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Fitnah kononnya PAS bergabung dengan Umno yang dijaja dari pertemuan pemimpin kedua parti itu ternyata tuduhan bersifat kebudak-budakan.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS terbuka mendekati dan didekati semua pihak tanpa mengira status mereka.

"Kita dekati semua orang tak kira siapa. Dia bukan Islam, malah DAP pun dulu, yang tidak sembahyang, yang rempit. Baik dengan Umno bukan mesti kita bersama Umno. Keanakan sangat hujah tu.

"Kita pun tak mahu dengan Umno. Sebab tu kita lawan Umno. Kita nak ganti Umno. Umno ni bawa legasi beban yang amat berat. Semua yang teruk-teruk kait dengan Umno.

"Dulu kalau jahat orang kata komunis. Terbakar bangunan - komunis (buat), runtuh jambatan - komunis. Semua kait komunis. Sekarang semua (masalah) kait Umno," ujarnya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Bukit Chandan.

Menurutnya, politik Gen-Y dan politik millenium hari ini mesti menampilkan hujah lawan hujah dengan mengemukakan data dan fakta serta realiti.

Beliau juga menyanggah serangan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang dikatakannya tidak mahu berbaik dengan PAS.

Jelasnya, sepanjang sejarah, Mahathir dengan PAS umpama malam dengan siang yang tidak mungkin bertemu kerana pemimpin nostalgia itu sentiasa berdendam dengan PAS.

Mahathir sendiri katanya, mewujudkan pelbagai 'tagline' menentang PAS seperti 'Hudud PAS', sedangkan bila dicabar gagal mengemukakan 'Hudud Umno'.

Malah, dakwaan PAS 'makan dedak' sebenarnya dilakukan Mahathir sendiri yang mengajar orang lain makan dedak.

"Senang saya kata begini, hanya orang jahat sahaja tahu kejahatan orang lain. Terpulang pada dia mahu sokong siapa, itu hak demokrasi. Tapi peliklah dalam sejarah pertarungan apabila pembangkang serang pembangkang.

"Kita PAS tidak menyerang. Kita hanya jawab bila kita diserang. Tapi dia berdendam dengan PAS kerana PAS tidak bersama dia dalam Deklarasi Rakyat.

"Tak sokong bukan bermakna kita bersama PM Najib. PAS bukan nak turunkan individu, tapi PAS nak ubah seluruh sistem. Mahathir juga tak layak cakap soal 'reform'. Zaman dialah merosakkan banyak sistem," bidasnya.

Menurut Ustaz Idris, pelbagai kegagalan zaman pentadbiran Mahathir antaranya dasar pendidikan, penswastaan, kehakiman dan sebagainya.

Tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, Mahathir tanpa kuasa itu bukanlah lawan kepada PAS kerana PAS hanya berlawan pihak yang ada kuasa. – HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace