Maahad Asy-Syatibi perlu RM2 juta siap bangunan

HARAKAHDAILY | .

MARANG: Sebuah pusat tahfiz al-Quran persendirian, Maahad Tahfiz Asy-Syatibi (MTS) sedang dibangunkan di atas sebidang tanah wakaf lot 6693, Kampung Alor Lit, Bukit Payong, dekat sini.

Setiausaha maahad, Ustaz Zakaria Ismail berkata, setakat Jun 2016 bangunan MTS dalam fasa pembinaan tingkat 2.

Menurutnya, MTS masih lagi memerlukan lebih kurang RM2 juta bagi menyiapkan bangunan dan melengkapkan kemudahan-kemudahan yang berkaitan.

Katanya, bangunan MTS ialah sebuah bangunan 4 tingkat yang akan menempatkan 5 bilik darjah, sebuah asrama, sebuah bilik warden, sebuah surau sekaligus sebagai dewan serbaguna, sebuah kantin dan sebuah pejabat.

Mengenai pengajian, jelasnya MTS bermula bagi pelajar berusia 13 tahun selama 5 tahun.

"Semua pelajar akan tinggal di asrama sepenuhnya setelah bangunan MTS siap sepenuhnya untuk digunakan," ujarnya.

Tambahnya, kurikulum pengajian pula mencakupi kurikulum tahfiz, pengajian Islam, bahasa Arab dan bahasa Inggeris di samping aktiviti-aktiviti ko-kurikulum juga berjalan serentak dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran.

Jelas beliau lagi, setelah tamat pengajian, pelajar-pelajar akan berpeluang menyambung pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.

Justeru, kata beliau MTS yang dipengerusikan Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah memerlukan sumbangan dalam bentuk pembelian lot wakaf berharga RM100 sekaki persegi, derma umum dan bahan-bahan binaan serta perkakasan.

Sumbangan, katanya boleh dimasukkan terus ke akaun Maybank Islamic bernombor 563019247654 atas nama Maahad Tahfiz asy-Syatibi.

Maklumat lanjut mengenai MTS boleh menghubungi di talian 012-985 1494 atau bendahari, Syahrizan Yahya (014-507 8896). - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace