Puasa dengan penuh penghayatan

NASRUDIN HASSAN | .

Ibadah puasa jangan sekadar lapar dan dahaga. Tapi hayatilah pengertian ibadah puasa ini sehalusnya. Para pejuang mesti capai standard ini. Sangat tidak wajar bagi seorang pejuang Islam, tapi puasanya seperti orang yang baru masuk Islam.

Amati sabda Rasulullah SAW: Daripada Abi Hurairah rha. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْماَناً و احْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan, nescaya diampunkan oleh Allah swt  akan dosanya yang terdahulu. (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Seorang pejuang Islam memerlukan keampunan daripada Allah SWT. Pejuang tidak boleh turun ke medan dakwah dan jihad amal Islami dengan menggalas berat beban bagasi dosa yang tidak terampun oleh Allah swt.

Dosa yang banyak akan membuatkan pandangan seorang pejuang itu menjadi tumpul. Bicaranya hambar. Jiwanya kacau dan tindakannya tidak berkesan. Gerak kerjanya tiada keberkatan. Doanya tidak mustajab dan wajahnya hilang cahaya.

Pejuang Islam mesti bebaskan diri dari belenggu dosa yang bakal menjadi penebat turunnya nusrah atau pertolongan daripada Allah SWT terhadap perjuangan ini.

Salah satu cara membebaskan diri dari karat dosa ini ialah kita berpuasa di bulan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan penghayatan. - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace