Dr Rani gesa henti kempen berbentuk fitnah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi PRK Parlimen Sungai Besar, Dr Abd Rani Osman menyeru semua parti yang bertanding supaya menghentikan kempen yang berbentuk fitnah.

Beliau akan terus memberi penerangan terbaik kepada penduduk walaupun pelbagai fitnah dilemparkan kepada parti PAS.

"Ini adalah sebahagian dari puluhan risalah-risalah yang dicetak lebih dari 15,552 keping untuk diedarkan dari rumah ke rumah tanpa mengira bangsa dan agama di Sungai Besar untuk perjelaskan kepada rakyat tentang pelbagai isu. Insya Allah banyak lagi yang akan menyusul.

"Janganlah taburkan fitnah yang PAS hanya menyerang pihak PAN sahaja dan diam terhadap Umno," ujar beliau dipetik laman web merahkuning.com.

Turut kesal dengan cara kempen fitnah itu adalah seorang blogger, Timmy Say yang memuji sikap PAS yang menggunakan pendekatan menerang tanpa menimbulkan kontroversi dalam siri kempen PRK di Sungai Besar.

"Ini sikap yang baik. Menerang, menjelas dan bukan buat provokasi. Fokus pada isu. Teruskan politik sebegini. Tolak mereka yang menyemai kebencian," ujar beliau yang senang dengan pendekatan PAS.

Dr Rani berdepan dengan calon BN, Budiman Mohd Zohdi dan Azhar Abdul Shukur (PAN) pada PRK Sungai Besar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong kerana penyandang, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Share on Myspace