PRK: Limpahan projek untungkan rakyat

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Rasuah politik menerusi pemberian material, janji manis peruntukan dan projek 'mi segera' terus menjadi rutin kempen BN sebagai umpan menarik undi setiap kali pilihan raya.

Begitu juga penggunaan jentera kerajaan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi yang dikerah bagi meraih sokongan kepada BN.

Perkara sama juga sedang giat berlaku di PRK P.067 Kuala Kangsar menyaksikan BN terpaksa berhempas pulas untuk mempertahankan kerusi tradisinya.

Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri terpaksa turun mengumumkan pemberian bantuan khas RM500 kepada penoreh getah.

Pemberian secara 'one off' itu melibatkan peruntukan sebanyak RM194 juta yang akan dibayar menerusi RISDA kepada para penoreh di Kuala Kangsar.

Najib juga meluluskan serta-merta RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong dan Pekan Manong.

Pembinaan jambatan itu telah menjadi janji BN sejak beberapa PRU lalu, namun hingga kini tidak pernah menjadi kenyataan.

Pada ketika ini lebih 2,000 penduduk di situ terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 50 kilometer atau menyeberang dengan bot sebagai alternatif.

Tinjauan di seluruh parlimen ini mendapati banyak jalan utama dan jalan kampung yang telah diturap tar sejak diisytiharkan kekosongan kerusi Kuala Kangsar awal Mei lalu.

Malah, pada ketika ini masih didapati banyak jentera berat pembuat jalan masih melakukan kerja-kerja penurapan.

Selain itu juga, beberapa infrastruktur awam, termasuk kediaman, kedai-kedai dan masjid sedang dibaiki atau diselenggara kontraktor berkaitan.

Malah, kelihatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-menteri turun mengadakan pelbagai program dan penyerahan intensif kepada penduduk.

Para pengundi diseru bersikap bijak dengan mengambil peluang dari pelbagai lambakan pemberian tersebut dan mengajukan permintaan, tetapi mengundi calon PAS yang akan membawa suara mereka secara konsisten ke Parlimen. – HARAKAHDAILY 13/2016

Share on Myspace