Mengapa PAS, bukan Umno?

HARAKAHDAILY | .

Wartawan bertanya saya dan meminta komentar terhadap dakwaan seorang bekas pemimpin PAS yang mengatakan PAS bertanding PRK kali ini hanyalah untuk mengalahkan PAN dan tak pun bersungguh memenangi dan mengalahkan Umno.

Saya jawab, teramat murahlah perjuangan PAS jika sekadar berjuang untuk mengalahkan PAN. Yang pasti, dengan PAN masuk bertanding, ia membuka laluan lebih mudah buat Umno mengalahkan PAS dalam PRK ini.

PAN adalah kemuncup perjuangan, meminjam kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang saya perolehi sedari awal 80-an dulu, merujuk kepada parti serpihan PAS yang galak sekali memburuk-burukkan PAS pada masa itu. Kemuncup, wujudnya adalah buat menghalang orang-orang yang lemah dalam perjuangan daripada terus mara ke hadapan. Adapun sebuah parti yang gagah bertakhta di hati rakyat seperti PAS, berbicara panjang hal kemuncup adalah seperti kerugian kehilangan masa bersama al-Quran kerana asyik menghadap Euro 2016. Tengok-tengok jugak, al-Quran harus ditadaruskan dan ditadabburkan.

Bicara PAS adalah ganti Umno. Bicara PAS adalah tawaran sebuah kerajaan Malaysia yang berakhlak pemimpinnya. Tiada kezaliman, salah guna kuasa, korupsi, rasuah, pembaziran, salah laku dan segala kalimah dan makna yang membawa kerosakan dalam kehidupan rakyat. Tiada galang ganti bagi sebuah perjuangan suci selain janji sebuah kerajaan yang berteraskan keadilan dan kesejahteraan yang menjadikan al-Quran sebagai sumber yang menyuburkan kehidupan manusia.

Soalan PAS adalah mudah. Negara kita ini, kurang wangkah atau kurang akhlak?

Penyelesaian masalah negara hari ini bukanlah dengan terus menyedut poket rakyat melalui GST atau menjemput sang algojo TPPA berpencak tari dengan sang petani dan rakyat yang tengah tercungap-cungap kelelahan membanting tulang. Ia bukan sekadar menjamu manisan BRIM selepas menarik kemudahan subsidi kepada rakyat. Bukan itu penyelesaian cadangan PAS.

Negara kita kaya raya dengan sumber dan hasil mahsul kurniaan Allah. Kekayaan itu demi kelestariannya dan kemanfaatannya memerlukan ketua dan para pemimpinnya yang berakhlak yang akan menguruskannya dengan baik. Sifat amanah, bijaksana, hemat dan benar adalah kunci kepada penyelesaian. Jika BN dihukum oleh rakyat dengan sokongan dan undi yang semakin susut, jangan salahkan kecuali diri sendiri.

Tugas utama PAS ialah meyakinkan rakyat dengan solusi dan penyelesaian paling berkesan untuk negara. Kemudian mencetuskan keberanian untuk berubah dan mengislah diri tanpa dikelirukan dengan solusi-solusi dan janji-janji tanpa akhlak dalam berpolitik.

PAS bergerak dengan yakin dan berani yang tinggi. Saatnya Malaysia digoncang krisis politik, pemikiran, kepentingan puak dan akhlak yang memeritkan, PAS akan terus kekal sejahtera menjemput rakyat dengan Islam yang sejagat dan adil.

Jika ada yang berkata PAS sedang bercinta dengan Umno, itulah si tua gila talak yang asyik cemburukan bini lama yang semakin dipandang-pandang anak muda.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace