Jika PAS menang tambah 2 undi sokong RUU 355

DR AZMAN IBRAHIM | .

KUALA KANGSAR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru kepada pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar agar memanfaatkan sebaiknya peluang untuk mendapatkan kebaikan dan ganjaran pahala daripada Allah dengan memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

"Jika PAS menang, ianya kemenangan yang sangat penting menjelang sidang parlimen bulan Oktober nanti. Menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bermakna akan bertambah 2 lagi undi bagi menyokong RUU 355.

"Bayangkan betapa besarnya pahala bagi pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana dapat membantu usaha menegakkan kebaikan dan menutup pintu kejahatan," ujar beliau ketika memberikan taujihat kepada jentera petugas PAS di Markas Pilihan raya Bendang Kering, malam tadi.

Ketika berucap selepas menunaikan solat tarawih berjamaah, beliau juga tidak ketinggalan memberikan penghargaan dan tahniah kepada tenaga petugas yang datang dari Terengganu, Grik dan petugas tempatan Bendang Kering.

"Bendang Kering adalah kawasan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional. Cabaran berkempen di kawasan kubu kuat Umno adalah lebih besar. Lebih besar cabaran, lebih besar pahala yang dijanjikan oleh Allah. Apatah lagi pilihan raya kecil ini jatuh di bulan Ramadhan.

Untuk makluman, Peti Undi Bendang Kering dipertanggungjawabkan kepada PAS Kawasan Setiu dan Marang dengan diperkuatkan bersama tenaga petugas bantuan dari PAS Kawasan Grik.

"Mungkin orang melihat PAS sekarang bersendirian. PAS tak ada kawan. Tetapi kita ada Allah. Allah pastinya tidak akan meninggalkan orang mukmin yang berjuang bagi meninggikan agamanya bersendirian dalam keadaan susah," tambah beliau lagi.

Beliau juga memberikan perangsang dan semangat kepada semua jentera supaya jangan sekali-kali merasa dukacita dengan apa sahaja keputusan yang bakal diterima.

"Jangan sedih kalau kita tak menang, tapi sedihlah kalau ketika Islam sangat memerlukan kita, kita tak dapat memberi sumbangan. Sedihlah kalau ketika orang lain bertungkus lumus berjuang, kita boleh bersenang-lenang di rumah bersama anak dan isteri," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace