Pengasas PAS Kuala Kangsar meninggal dunia

HARAKAHDAILY | .

USTAZ HASSAN SHUKRI, PENGASAS PAS KUALA KANGSAR DAN BEKAS CALON PAS SUNGAI BESAR MENINGGAL DUNIA (14 JUN 2010)

PADA hari ini dalam tahun 2010, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah meninggal dunia secara mengejut setelah terkena serangan jantung. Beliau yang berusia 71 tahun ketika meninggal dunia baru pulang dari menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 pada 11-13 Jun 2010 di Kota Bharu dan mengadu sakit dada.

Beliau meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang pada jam 2 petang setelah dimasukkan ke ICU pada pagi tersebut, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2, Gombak setelah disolatkan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat.

Ustaz Hassan Shukri yang berketurunan Banjar dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 10 November 1939. Beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sabak Bernam dan Madrasah Irsyadunnas, Sabak Bernam sebelum memasuki Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak pada 1952.

Antara guru beliau yang terkenal ialah Ustaz Othman Abdullah (bekas Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat). Pada 1964, beliau mendapat biasiswa Kerajaan Iraq untuk mendalami ilmu syariah dan bahasa Arab di Universiti Baghdad sehingga 1968.

Beliau yang pernah menjadi guru di Madrasah Yahyawiyah (1958-1964) adalah pemimpin Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) (1954-1958) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) (1956-1958), sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Iraq (1964-1968).

Kerana bencikan aktiviti judi loteri dan funfair anjuran Umno, Ustaz Hassan menjadi ahli PAS sejak akhir 1952 dengan nombor keahlian 12,016. Beliau bersama gurunya, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (Ketua PAS Kuala Kangsar) bertanggungjawab mengembangkan PAS di Padang Rengas, Kuala Kangsar dan Hulu Perak sejak tertubuhnya PAS Cawangan Perak di Kuala Kangsar pada 26 April 1952.

Saban hari dan malam beliau bergerak ke seluruh Kuala Kangsar dan Padang Rengas untuk mengembangkan PAS sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Perak (1960-1964).

Setelah pulang dari Baghdad pada 1968, Ustaz Hassan terus dilantik sebagai Ketua Jabatan Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat sehingga 1971. Ekoran pemergian Ustaz Jaiz Anwar ke London pada 1971, beliau memangku jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada sesi 1971-1973.

Pada 1973, beliau menjadi Setiausaha Agung PAS (1974-1979), diikuti oleh Ketua Penerangan PAS Pusat (1979-1981) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1982-1983). Pada era kepemimpinan ulama, beliau kembali dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS (1982-1989), Naib Presiden PAS (1989-2003), Timbalan Presiden PAS (2003-2005) dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (2005-2010).

Ustaz Hassan yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS pada sesi 1990-1993, kekal sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS hingga 2010, selain pernah dua kali menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor hingga 2003 dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1993-1995).

Beliau juga adalah Timbalan Yang Dipertua YADIM (1974-1978), Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (1974-1979), Ahli Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan (1974-1979) dan Naib Yang Dipertua Jam'iyatul Dakwah Selangor.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan pengasas WAMY dan menjadi Ahli Jawatankuasa WAMY sesi pertama 1971-1973 sebelum diganti oleh Ustaz Yahya Othman. Beliau juga menjadi delegasi gerakan Islam antarabangsa menemui Presiden Saddam Hussein ketika Krisis Teluk dan dilantik mengetuai Sekretariat Gerakan Islam dalam isu Teluk di Amman pada 1989-1990.

Selain aktif dalam kepemimpinan, Ustaz Hassan juga turut bertanding dalam pilihan raya. Pada 1969, beliau menjadi calon PAS di DUN Sungai Besar dan Parlimen Sabak Bernam. Pada 1978 dan 1982 beliau bertanding lagi di Parlimen Sabak Bernam, sebelum berpindah ke Parlimen Batu pada 1986.

Walaupun tewas dalam semua pilihan raya, pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Senator mewakili DUN Terengganu ke Dewan Negara sehingga 2006. Tokoh PAS yang dikenali kerana menguasai sejarah perjuangan dan Perlembagaan PAS ini telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor pada 2009.

Pada 2005, beliau ditawarkan untuk menerima ijazah kehormat doktor falsafah (kepemimpinan politik) dari sebuah umiversiti terkemuka di Jerman, tetapi beliau menolak. Beliau diakui sebagai orang yang bertanggungjawab memulakan tahaluf siasi dengan S46 yang membolehkan PAS memerintah Kelantan, dikenali sebagai "Arkib PAS," "Perlembagaan Bergerak," dan pengasas sebenar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Pada saat terakhir hidupnya, beliau menghabiskan langkah istiqamah di Kota Bharu pada 9 Jun 2010 dengan menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada petangnya dan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS di PUTIK pada malamnya.

Pada 10 Jun 2010, beliau menyertai Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di MADU dan malamnya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Selepas menghadiri Perasmian Muktamar Tahunan PAS di PUTIK pada pagi 11 Jun 2010, beliau memberikan taklimat Perlembagaan PAS kepada tetamu muktamar di JKR 10 pada 12 Jun 2010.

Beliau kembali ke Kuala Lumpur setelah muktamar berakhir pada 13 Jun 2010. Setelah menghabiskan seluruh usianya untuk perjuangan Islam, Muktamar Tahunan PAS Ke-56 menjadi saksi terakhir perjuangan istiqamah beliau yang berakhir pada 14 Jun 2010.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Jun 2016 – HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace