Suasana kempen terkawal – Ketua Polis Selangor

NAZIRAH NASRUN | .

SUNGAI BESAR: Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 201 orang telah membuang undi dalam proses pengundian awal yang sedang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, dua saluran melibatkan DUN Sungai Panjang dan DUN Sekinchan.

Jumlah pengundi berdaftar adalah 286 orang terdiri daripada pegawai dan anggota-anggota polis; daripada jumlah tersebut yang masih berkhidmat di daerah ini adalah seramai 183 orang.

“Proses pengundian berjalan lancar daripada jam 8.00 pagi tadi dan kita buka sehingga jam 5 petang. Oleh hal yang demikian, kita harap mereka yang masih belum membuang undi akan hadir sebelum jam 5.00 petang ini untuk melaksanakan tanggungjawab secepat mungkin,” ujar Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dalam satu sidang media di sini tadi.

Beliau turut mengesahkan bahawa sejak hari penamaan calon yang juga dalam tempoh berkempen sehingga ke hari ini, keadaan keselamatan adalah terkawal. Tidak ada sebarang insiden besar yang boleh mengugat keselamatan awam dilaporkan meskipun terdapat 17 laporan polis telah diterima setakat ini.

“Kita mengharapkan kesemua pihak yakni parti-parti yang terlibat dalam PRK ini dapat meneruskan dengan cara yang telah dilakukan sepanjang tempoh berkempen sejak 5 Jun lalu, mengekalkan keamanan sehinggalah hari pembuangan undi seterusnya pada 18 Jun nanti.

“Kita lihat ini sebagai satu yang sihat, sedikit sebanyak telah memperlihatkan kematangan politik parti-parti bertanding dan juga para penyokong yang terlibat dalam PRK pada kali ini. Itulah yang diharapkan supaya suasana kekal aman dan kita memberi jaminan sekali lagi kepada para pengundi supaya tidak berasa bimbang atau gusar tentang aspek keselamatan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace