Kit Siang lebih pandai Islam dari Abdul Hadi?

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa penentangan DAP terhadap usaha PAS memperundang Kanun Jenayah Syariah dan menaik taraf Akta Mahkamah Syariah adalah kerana khuatir para pengikutnya tertarik kepada Islam.

Beliau dengan tenang mengemukakan hujah serta fakta sejarah, cabaran dan tatacara berkaitan kedua perundangan tersebut secara kronologi dalam ceramahnya di Kampung Ketior, di sini semalam.

“Inilah yang menyebabkan ada kalangan bukan Islam, saya tahu, khususnya kalangan Kristianisasi yang ada di belakang DAP, mereka takut kalau Syariat Islam dilaksanakan, pengikut-pengikut mereka masuk Islam. Kita tak paksa mereka masuk Islam. Ini hak kita, itu hal mereka.

“Mereka akan saksikan keadilan Mahkamah Islam, keadilan Undang-Undang Islam, ini sebenarnya. Tetapi mereka bermain kata-kata, bermain ucapan. Hukum Islam mengikut apa yang saya terangkan tadi, terpulang kepada saudara-saudara nak belajar agama dengan saya ke, nak belajar agama dengan Lim Kit Siang? Terserah kepada saudara.

“Ini yang saya terang ini mengikut ilmu Islam. Tetapi Lim Kit Siang kata saya tak reti Islam. Saudara fikir sendirilah. Tun Mahathir pun kata, saya tak reti Islam juga. Saya mengaji bab Islam, Tun Mahathir dia mengaji bab perubatan, bukan saya nak hina dia.

“Tetapi malangnya dia tak baca hal-hal Islam ini, dia tak baca. Kita maafkan dia kerana dia tak baca. Sepatutnya dia bacalah. Kalau tak baca ini jadi bahaya. Kalau kita orang Islam tak baca Islam, nanti umur 90 tahun tak baligh lagi,” katanya dalam ceramah sempena kempen PRK P.067 Kuala Kangsar itu.

Terdahulu dalam ucapannya itu, beliau menerang susur galur perbezaan perjuangan antara PAS dan Umno serta usaha PAS menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, namun berdepan gugatan Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.

Oleh itu, beliau menyeru agar memilih calon PAS pada PRK ini iaitu akan berpegang kepada dasar untuk bersama dalam perkara baik dan menentang perkara munkar.

Sebaliknya jika memilih Umno ujar beliau, parti itu bersikap menyokong perkara baik dan yang tidak baik, manakala PAN bersikap membangkang semua perkara sama ada baik atau tidak baik kerana parti itu mengikut DAP.

Oleh sebab itulah katanya, PAS berbaik dengan semua sama ada Umno mahupun DAP kerana mahu menarik undi ahli-ahli parti itu tetapi menentang mereka dalam perkara salah. – HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace