Mana janji BN PRK Teluk Intan dulu?

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Calon PAS PRK P.067 Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad menasihatkan pengundi agar tidak terpedaya dengan janji-janji ditabur BN.

Beliau mengajak para pengundi mengingati janji-janji yang telah dinyatakan BN pada PRK Teluk Intan dahulu, namun hingga hari ini tidak ditunaikan.

Antaranya ujar beliau, janji untuk membina universiti yang masih tidak kelihatan batu asas pecah tanah mahupun tapak.

Begitu juga katanya, janji untuk menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan zon wifi percuma juga tidak tertunai lagi.

Paling mengecewakan sebagaimana diluah penduduk India di Teluk Intan, adalah janji untuk membina Sekolah Menengah Tamil.

Kesali Dr Najiha, janji tersebut terus meletakkan anak-anak kaum India berdepan saingan sukar dalam pembelajaran di peringkat menengah.

"Anak-anak kaum India ini mereka belajar subjek dalam bahasa ibunda mereka Bahasa Tamil. Bila tidak ada Sekolah Menengah Tamil, mereka terpaksa masuk ke sekolah kebangsaan biasa.

"Mereka sudah biasa faham dengan bahasa ibunda dalam subjek tertentu. Jadi sukar bila mereka tiada Sekolah Menengah Tamil.

"Mereka berdepan pembelajaran Sains dan Matematik misalnya yang diajar dalam Bahasa Inggeris," prihatinnya.

Beliau mengimbas perkara-perkara itu ketika ceramah kelompok di Kampung Ketior, di sini semalam.

Tambahnya lagi, turut gagal ditunaikan BN adalah janji menyediakan rumah mampu milik yang sangat memberi kesan pada anak muda khususnya.

Terang beliau, harga rumah di Kuala Kangsar juga terlalu mahal berbanding Taiping misalnya menyebabkan generasi baharu tidak mampu membelinya.

Beliau juga menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan Jambatan Manong yang telah diisytiharkan peruntukan RM43.5 juta oleh Perdana Menteri.

Tegasnya, kerajaan mesti menunaikan janji tersebut yang telah berkali-kali PRU lalu menjadi gula-gula kepada pengundi. – HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace