Luka Kuala Selangor bertaut di Putik

M FAQIH | .

MUKTAMAR kali ke-62 seakan-akan melupakan kemelut dalaman yang pernah merencatkan pendokong Islam setahun lalu. Bermula dengan konflik yang melanda Selangor.

Mukadimahnya misi Pakatan Rakyat menyingkir Tan Sri Khalid Ibrahim di kerusi Menteri Besar. Ketika kegawatan itu dua Adun PAS di Selangor mempamerkan kepahlawanan mereka. Mencari kiblat di luar rumah sendiri.

Adun Morib Hasnol Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib rela dipecat daripada PAS demi misi sebuah Pakatan. Mereka tanpa sembunyi menyokong Adun Kajang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun sokongan mereka tidak ke mana-mana apabila Datuk Seri Azmin Ali yang diperkenan Sultan Selangor. Detik-detik itulah memulakan episod si Tanggang dalam PAS.

Mereka disokong bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan kumpulan populis dalam PAS. Tidak terhenti di situ, ketika Kelantan dilanda mini tsunami, gerak kerja mereka dihala ke Serambi Mekah.

Bertali arus pemimpin DAP datang menghulur bantuan. Bantuan itu disambut kumpulan akrabnya yang sedia ada di Kelantan. Banyak bantuan diangkut ke Gua Musang atas nama Impian Kelantan.

Impian Kelantan muncul dengan jelmaan logo berwarna oren. Bermula di situ hubungan terjalin tambah erat antara bekas pemimpin PAS dengan DAP.

Ketika menjelang muktamar di Kuala Selangor, bekas pemimpin PAS terbabit begitu vocal dengan gelombang mahu menukar Presiden.

Di luar Kelantan tidak ketinggalan juga. Ada pemimpin PAS yang mahu mempertahankan hubungan dengan DAP turut bertindak serupa.

Mereka dilihat mahu menjaga hati kawan, biarpun bapa sendiri terluka. Babak-babak itu akhirnya dipersembahkan di pentas muktamar.

Tanpa disedari tindak tanduk dan hala tuju mereka seakan-akan dihidu perwakilan PAS. Muktamirin membuat perhitungan ketika semua pemimpin mengharap undi.

Di hujung muktamar warna oren yang membalam-balam semakin jelas.

Dan akhirnya Impian Kelantan yang diuar-uarkan ketika misi membantu mangsa banjir berakhir dengan munculnya Parti Amanah Negara (PAN).

Kini setelah setahun ribut dalam rumah tangga PAS dibiarkan terlodeh, namun tidak ramai penyokong di akar umbi menjejakinya.

Pengasas PAN terpaksa bekerja keras keluar masuk kedai kopi bagi menarik ahli. Laman fb menjadi medium promosi sebelum muncul akhbar Amanah.

Setahun juga ahli-ahli PAS di peringkat cawangan dan kawasan memendam rasa. Mereka mengikuti dari jauh persembahan rakan dan segelintir pemimpin.

Penyokong di akar umbi juga kenal siapa yang mendokongi parti serpihan baharu tersebut. Kenal bukan sekadar wajah, malah susur galur dan keturunan mereka.

Ada yang memulakan politik dengan KeADILan Nasional kemudian menyertai PAS. Setelah gagal dalam misinya menduduki jawatan tinggi di hierarki parti akhirnya mereka terpinggir.

Selepas lama menghilang tiba-tiba muncul dengan jenama PAN. Setahun berlalu muktamar menyaksikan kisah duka tersebut.

Lukanya mungkin belum sempat bernanah, kini hanya parut yang nampak di kaki. Muktamar di Kelantan tidak banyak diungkit kisah duka ketika perwakilan mengambil bahagian berbahas.

Malah perkataan PAN muncul seketika. Ada masanya akronimnya berbunyi seperti PEN. Pengerusi Tetap Cikgu Husin Ismail pun sebut, lain orang lain pula nada sebutannya.

Isu dalaman yang berlaku itu biar pun sudah berlalu, namun tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka ada pengaruh, kalau tidak di luar, mungkin anak beranak sendiri.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah memberitahu pada peringkat awal beliau begitu bimbang dengan jumlah kehadiran muktamirin.

Beliau bimbang Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) menyaksikan sejarah lain pula.

Masalah dalaman PAS yang membelit tahun lepas dibimbangi memberi kesan.

“Namun jangkaan saya meleset. Pada masa perasmian muktamar sekitar 6,000 perwakilan dan pemerhati mengikutinya.

“Kehadiran orang ramai sehingga melimpah keluar. Sepatutnya selepas berlaku peristiwa keluar parti, tidak ada orang lagi dalam PAS sekarang.

“Saya bimbang, namun dipanjat rasa syukur apabila perwakilan semakin semangat dan bangkit semula,” ujarnya.

Pengerusi Tetap pun meluah rasa pelik juga. Kata Cikgu Hussin tidak kelihatan kerusi kosong dalam dewan sejak muktamar bermula pagi Khamis sehingga tengah hari Jumaat.

“Ini sejarah yang tidak pernah berlaku. Sedangkan pada  muktamar sebelum ini terutamanya di penghujung, pasti akan kelihatan banyak kerusi kosong.

“Namun pada muktamar kali ini ada kelainan, perwakilan dan pemerhati kekal sehingga ke saat akhir muktamar berlangsung,” katanya.

Muktamar ke-62 benar-benar mencatat sejarah. Perwakilan kekal istiqamah sehingga detik-detik muktamar meninggalkan pelabuhan.

Biar pun hanya dua hari berada di Kota Bharu, namun mereka dipertemukan kembali di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Mereka berkampung di situ sehingga 18 Jun ini. Ramadan bukan halangan, demi sebuah pangkalan bernama perjuangan. - HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace