Peruntukan IPG 2016 ditukar kepada Dana Khas Penoreh?

HARAKAHDAILY | .

ADAKAH bantuan khas kepada penoreh getah berjumlah RM194 juta yang diumumkan oleh PM sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sg Besar telah menggunakan peruntukan RM200 juta yang diluluskan dalam Bajet 2016 untuk program Insentif Pengeluaran Getah (IPG)?

Jika ia bukan daripada peruntukan IPG, Perdana Menteri wajib menjelaskan dari mana datangnya wang dana khas itu?

Jika ia adalah dari dana IPG, bagaimana pula kedudukan tuntutan IPG yang belum dibayar kepada penoreh sejak dikemukakan  oleh puluhan ribu penoreh getah kepada Lembaga Getah Malaysia selaku agensi pembayar sejak Januari 2016?

Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) tidak berhasrat menghalang penoreh menerima bantuan daripada kerajaan, kerana itu adalah hak mereka dan kewajipan sebuah kerajaan, tetapi Barisan Nasional wajar dihentikan daripada menyalahgunakan dana awam negara ini untuk membeli undi. Lebih-lebih lagi, dana awam ini sudah ditentukan kaedah perbelanjaannya.

Kami percaya setiap sen yang  diluluskan untuk dibelanjakan dalam bajet negara 2016, perlu melalui tatacara proses dan prosedur kewangan, dan setiap perbelanjaan mesti selari dengan matlamat peruntukan itu diluluskan.

Setiap peruntukan kewangan negara pula dikawal oleh kakitangan awam selaku pegawai pengawal yang diikat oleh undang-undang (legal bind) untuk menjamin perbelanjaan dilakukan menurut prosedur yang betul.

Sewaktu peruntukan IPG diluluskan oleh Parlimen dalam Bajet 2016, ia jelas menyatakan bahawa peruntukan RM200 juta ini akan digunakan untuk mengaktifkan IPG apabila harga komoditi getah (sekerap) jatuh dibawah RM2.20 sekilogram.

IPG kemudian diaktifkan sebaik sahaja tahun kewangan 2016 bermula pada Januari dan harga sekerap berada di bawah paras RM2.20 sejak Disember 2015 lagi.

Adalah diingatkan bahawa sejak tuntutan IPG dibuat pada Januari 2016 dengan pelbagai prosedur yang terpaksa dipenuhi oleh penoreh, belum ada penoreh yang menerima bayaran sampai sekarang.

Jika dana khas boleh diumumkan oleh PM hanya kerana pilihan raya kecil dan dibuat bayaran kepada penoreh semudah itu, mengapa pula IPG yang diluluskan sejak pembentangan Bajet pada Oktober 2015 tidak dapat dilunaskan. Apakah halangan yang kerajaan hadapi?

LATAS menyeru para penoreh getah dan orang ramai yang terbabit sebagai pengundi dalam pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak memberi undi kepada BN kerana rasa terhutang budi akibat dana khas itu. Mengundi BN bererti bersetuju dengan amalan rasuah dan salahguna dana awam.

Sebaliknya, mengundi calon PAS akan membebaskan kita semua daripada bersekongkol dengan amalan rasuah, dan dapat memberikan isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat bersatu menolak tabiat buruk itu. Amalan rasuah dan salahguna dana awam oleh BN boleh dihentikan. Mulakan sekarang.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi LATAS
PAS Pusat.
15 Jun 2016 – HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace