Lawan terdesak, habis modal kempen

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Penyebaran surat layang dan risalah memburukkan calon PAS, serta tindakan mengganggu Muslimat PAS menjalankan kempen, jelas menunjukkan lawan terdesak menghadapi kemaraan PAS.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, tindakan pihak tertentu melakukan penyebaran berkenaan bererti mereka telah kehabisan modal kempen.

Malah, tindakan Pemuda BN mengganggu kempen Muslimat PAS adalah tidak demokratik dan masih terperuk dengan amalan politik kuno.

"Mereka terbantut, bankrap idea dan putus asa untuk melonjakkan kempen. Tak cukup dengan memperalatkan jentera kerajaan dan umpan janji-janji manis.

"Beri projek 'mi segera', serah pula bantuan 'durian runtuh' dan macam-macam rasuah politik untuk beli undi. Akhirnya kembali kepada politik fitnah dan samseng," bidasnya yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia.

Menurutnya, pihak berkenaan jelas tiada isu untuk menjejaskan reputasi PAS, apatah lagi memalitkan PAS dengan sebarang skandal.

Akhirnya kata beliau, status calon anak tempatan diulang-ulang untuk disensasi dan dikontroversikan, sedangkan dalam konteks PRK dan strategi kempen yang matang, perkara tersebut bukanlah isu.

Sebaliknya ujar Ustaz Akmal, mensasarkan serangan kepada peribadi individu calon menunjukkan moral lawan berada pada tahap rendah.

"Mereka telah hilang keyakinan untuk menang, tercabar dengan peningkatan sokongan kepada PAS. Tidak berbangkit isu anak tempatan. Calon PAS, Dr Najiha anak jati Perak.

"Beliau dilahirkan, dibesarkan serta memberi khidmat profesionalnya di Perak. Beliau adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Perak. Seluruh Muslimat dan Kawasan berada bawah tanggung jawabnya.

"Maknanya hati dan bakti Dr Najiha bersama seluruh Perak. Dia beri kesanggupan dan perjuangannya untuk seluruh Perak termasuk Kuala Kangsar," jelasnya lagi.

Dr Najiha juga katanya, memberi perhatian tinggi kepada isu-isu tempatan yang berlaku di Kuala Kangsar antaranya Jambatan Manong, Hospital Kuala Kangsar, masalah aliran trafik dan perkhidmatan bas.

Malah, calon PAS itu menurutnya, turut prihatin terhadap masalah harga rendah getah sekerap, pengangguran graduan dan anak muda, rumah kos rendah dan keperluan naik taraf Pasar Besar. – HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace