Kemenangan Dr Rani tambah undi sokong RUU355

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

SUNGAI BESAR: Memilih Dr Abdul Rani Osman sebagai wakil rakyat Parlimen Sungai Besar akan memberi pertambahan undi sokongan pembangkang terhadap usul Rang Undang-undang 355 (RUU355) yang selama ini diperjuangkan oleh PAS.

Menurut penulis veteran Harakah, Subky Abdul Latif, bilangan anggota parlimen yang menyokong RUU355 tidak seramai yang membantah RUU355 untuk diluluskan sebagai usul yang layak dibentangkan di parlimen.

"Kalau setakat ini, bilangan orang yang mengaku tidak mahu menyokong RUU 355 itu kita tahu ramai, tapi kalau kita dapat Dr Rani sebagai anggota parlimen, masa RUU 355 itu dibentang dan diluluskan nanti maka bertambah lagi satu undi untuk RUU 355 untuk memperkasa mahkamah syariah," ujarnya kepada Harakah di Markas Induk PAS Simpang Lima, Sungai Besar hari ini.

Katanya lagi, Dr Rani telah melakukan khidmat yang baik dan cemerlang sepanjang beliau menjadi wakil rakyat untuk penduduk Meru.

"Jika sekiranya beliau menjadi wakil rakyat Parlimen Sungai Besar, maka peranan yang dimainkan sepertimana beliau sebagai Dewan Undangan Negeri Meru akan tetap menyuarakan kepentingan-kepentingan bukan sahaja untuk partinya bahkan untuk kepentingan orang ramai tanpa segan dan silu," katanya.

Tambah penulis berpengalaman dalam bidang politik itu lagi, rakyat Sungai Besar bertuah jika memilih Dr Rani sebagai wakil rakyat mereka kerana banyak perkara yang telah disampaikan beliau dalam kerajaan negeri. Beliau turut membantu membawa perubahan kepada rakyat Sungai Besar dan membantu ke arah melahirkan politik demokrasi yang sebenar di negara ini.  

"Oleh itu, kalau dia menjadi wakil rakyat di Sungai Besar seperti yang saya pernah kata beliau tidak pernah meminta sebarang upah daripada rakyat atas apa yang telah dia sumbangkan pada rakyat. Bahkan dia juga tidak pernah meminta upah dari partinya iaitu PAS."

"Insya-Allah dengan keupayaan dia, upah itu datangnya daripada Allah. Allah akan memberi upah kepada dia sekiranya dia istiqamah dalam PAS."

Ujarnya, beliau yakin dengan perubahan yang akan dibawa oleh Dr Rani kepada rakyat Sungai Besar sekiranya rakyat Sungai Besar memangkah Dr Abdul Rani Osman sebagai wakil rakyat mereka pada 18 Jun nanti. – HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace