Pemuda PAS sambut baik dana patuh syariah KWSP

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha yang sedang giat dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pelancaran dana patuh syariahnya.

Saiz awal dana yang dijangkakan melebihi RM100 bilion itu akan dapat memberi peluang kepada para pencarum yang berminat menukarkan simpanan mereka kepada status patuh syariah.

Sesungguhnya, usaha ke arah memartabatkan ekonomi Islam di tanah air ini perlulah disokong oleh semua pihak. PAS sudah sekian lama memperjuangkan kesyumulan Islam sebagai  sebuah ad-Din yang lengkap bagi setiap insan.

Tauladan ini juga telah dizahirkan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990.

Almarhum memindahkan wang kerajaan negeri daripada bank-bank konvensional ke dalam Bank Islam yang tanpa riba. Almarhum turut memperkenalkan skim pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan negeri, dan seterusnya mengasingkan akaun daripada sumber yang halal dan haram.

Malahan, Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Almarhum juga telah mempelopori penubuhan Ar-Rahnu, sistem pajak gadai berasaskan Islam yang pertama di Malaysia pada 12 Mac 1992. Langkah memperkasakan ekonomi Islam yang diperjuangkan PAS pada awalnya memang dianggap asing tetapi telah diikuti juga oleh Kerajaan Pusat pimpinan Umno BN.

Dengan pelancaran dana patuh syariah ini kelak akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam hab kewangan Islam. Menariknya, pelaburan ini terbuka kepada semua; orang Islam mahupun bukan Islam. Inilah keindahan Islam, ia membawa rahmat kepada semua.

Justeru, DPPM menyeru agar para pencarum KWSP khususnya yang beragama Islam agar segara menukarkan simpanan mereka kepada berstatus patuh syariah apabila KWSP melancarkannya secara rasmi tidak lama lagi. Sebagai orang Islam adalah menjadi kewajipan kita agar memastikan wang yang dilaburkan itu ke arah kebaikan yang dibenarkan di sisi syarak.

Memandangkan dana ini agak terhad kepada RM100 billion, kami berharap pihak KWSP akan terus berusaha untuk membesarkan dana ini jika ada keperluan dari pencarum-pencarum Islam yang tidak berkesempatan ini.

Satu lagi cadangan pihak kami agar permohonan pemindahan ini dipermudahkan dengan melalui laman web KWSP sepertimana pengurusan-pengurusan pemindahan akaun di bank-bank tempatan.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 Jun 2016 | 10 Ramadhan 1437 - HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace